Berbilang Agama, Bangsa Hadiri Program Doa Malaysia Prihatin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU:  Program Doa Malaysia Prihatin sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang julung kali diadakan dihadiri oleh berbilang agama dan bangsa.

Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison berkata, program pada tahun ini merupakan inisiatif LKNS dalam memberikan ruang dan peluang dalam mendoakan keharmonian negara.

“Ia tidak terhad kepada agama tertentu sahaja, malah kepelbagaian diraikan bagi agama lain menzahirkan rasa cinta kepada negara serta mendoakan kesejahteraan para pemimpin kita. 

“Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, perpaduan dan toleransi sangatlah penting dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian sejagat,” katanya dalam Program Doa Prihatin yang dilaksanakan oleh Kinabalu Singh Sabha Association Sabah di Peak Nam Tong, disini semalam.

Dalam pada itu, Mackey menyatakan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia yang dipengerusikan  Timbalan Ketua Menteri, Datuk Sri Bung Moktar Radin yang banyak membantu dalam merealisasikan program itu.

Pada majlis yang sama, Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri T.C. Goh menjelaskan, program diadakan untuk mendoakan barisan kabinet baharu Kerajaan Malaysia agar diberi kebijaksanaan dalam memimpin negara bagi menangani krisis-krisis kesihatan, politik dan ekonomi.

Terdahulu, Mackey juga merasmikan Program Doa Malaysia Prihatin yang dilaksanakan oleh Persatuan Bumiputera Kristian Sabah di Gereja Baptis Pelita Cahaya Sabah, Kota Kinabalu. 

Hadir bersama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Delin Liet Blaun, Timbalan Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jessica Basat, Presiden KK Peak Nam Tong Buddhist Mission, Kapitan Lee Hing Boo dan Presiden Persatuan Bumiputera Sabah, Jellin Wandak./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *