KOTA KINABALU: Penyertaan dalam projek antarabangsa ‘Guardians of Memory’ di Yekaterinburg, Rusia membuka ruang kepada dua pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) membina jaringan akademik dengan peserta dari pelbagai negara.
Abdul Aziz Kong Abdul Alim dan Nurfarain Abdul Rahman, pelajar pascasiswazah Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS menyertai projek itu menerusi Program New Generation anjuran Rossotrudnichestvo.
Penyelaras Program Sejarah UMS, Dr Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan berkata, program berkenaan menghimpunkan 46 peserta dari 22 negara, sekali gus memberi peluang kepada peserta memperluas hubungan akademik dan profesional di peringkat antarabangsa.
Katanya, interaksi dengan peserta daripada pelbagai latar belakang membolehkan kedua-dua pelajar bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan bidang pengajian masing-masing.
“Penyertaan dalam program ini memberikan peluang kepada pelajar UMS untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta dari pelbagai negara dan pelbagai latar belakang profesional dan akademik.
“Mereka turut berpeluang bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang berkaitan masyarakat, sejarah dan hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jaringan yang terhasil menerusi program berkenaan berpotensi menjadi asas kepada pertukaran ilmu dan penerokaan peluang kerjasama akademik serta profesional pada masa hadapan.
Katanya, pendedahan sedemikian juga penting kepada pelajar pascasiswazah kerana ia membolehkan mereka melihat perkembangan bidang Sejarah daripada perspektif yang lebih luas.
Selain sesi perbincangan dan seminar, peserta turut mengikuti lawatan ke institusi berkaitan sejarah dan arkib.
Antaranya ialah State Archive of Contemporary History of the Sverdlovsk Region dan State Archive of the Sverdlovsk Region, yang memberi peluang kepada peserta meneliti sumber serta dokumen berkaitan sejarah wilayah Ural.
“Dalam lawatan berkenaan, peserta berpeluang melihat dokumen asal yang disimpan di institusi tersebut serta mendapat penerangan mengenai proses pemulihan dan pemeliharaan bahan arkib,” katanya.
Program itu turut menampilkan forum meja bulat bertajuk ‘Politics of Memory: Current Practices and Development Prospects’ di Multimedia Historical Park ‘Russia – My History’, Yekaterinburg.
Forum berkenaan menjadi platform perbincangan mengenai politik memori, selain membolehkan peserta berkongsi pendekatan dan pengalaman negara masing-masing dalam aspek berkaitan sejarah serta pemeliharaan memori.
Mohamad Ikhram berkata, penyertaan Abdul Aziz dan Nurfarain turut memberi peluang kepada kedua-duanya berkongsi perspektif Malaysia dalam perbincangan bersama peserta antarabangsa.
“Pengalaman tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh perkembangan akademik kedua-dua pelajar, khususnya dalam pengajian pascasiswazah bidang Sejarah,” katanya.
Program New Generation yang diperkenalkan pada 2011 bertujuan menggalakkan hubungan awam, profesional dan akademik antara Rusia dengan negara lain, selain membentuk jaringan dalam kalangan generasi muda antarabangsa.
Sejak diperkenalkan, program itu telah disertai lebih 11,000 peserta asing dari lebih 150 negara yang berpeluang mengunjungi lebih 35 wilayah di Persekutuan Rusia.



