HomeUtamaOrang Ramai Dinasihat Tidak Ambil Risiko Redah Arus Banjir

Orang Ramai Dinasihat Tidak Ambil Risiko Redah Arus Banjir

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menasihatkan penduduk di daerah ini dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir supaya tidak mengambil risiko meredah arus banjir kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa.

Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail, berkata tindakan itu harus dielakkan terutama bagi kenderaan ringan kerana kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka dan boleh membahayakan keselamatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan jangan meredah (arus banjir) terutama sekali bagi kenderaan ringan. Tunggu air surut dahulu barulah redah, sekiranya belum surut jangan ambil risiko kerana ia sangat berbahaya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Md Ali berkata hujan berterusan ketika ini akan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan pantai barat Sabah, selain risiko berlaku kejadian tanah runtuh.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai yang berada di kawasan banjir supaya sentiasa bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Md Ali turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tidak menyentuh dawai elektrik terjatuh dalam air banjir kerana dikhuatiri terdapat arus elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa, dan meminta ibu bapa memantau anak-anak supaya tidak bermain air ketika musim hujan.

Katanya, JBPM Sabah telah bersiap sedia daripada segala aspek termasuk logistik dan anggota terutama balai bomba di pantai barat Sabah bagi menghadapi situasi banjir di kawasan sekitar.

“Kami juga siap siaga dari segi latihan. Sekarang saya berada di Pulau Banggi, Kudat, bagi mengadakan latihan pemanduan bot melibatkan balai bomba Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud. Latihan ini untuk mengajar anggota tentang cara mengendalikan bot dan penyelamatan sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Hujan lebat berterusan bermula awal pagi tadi sehingga kini mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk kawasan pantai barat Sabah pada 8.35 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Papar dan Kota Belud.

Hujan lebat dijangka berlaku di kawasan pedalaman Sabah antaranya Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, serta beberapa kawasan lain iaitu Ranau dan Kudat.  – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular