Komuniti Maritim Diingatkan Untuk Sentiasa Utamakan Keselamatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Komuniti maritim di negeri ini diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan sebelum meneruskan sebarang aktiviti di laut atau persisiran pantai.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, antara langkah yang boleh diambil termasuklah menyemak laporan kaji cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan selain membawa peranti pengesan kedudukan seperti Personal Locator Beacon (PBL) serta memaklumkan lokasi dan tujuan ke laut kepada ahli keluarga atau sahabat handai.

“Aspek keselamatan bot atau vesel juga harus dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

“Berdasarkan laporan kaji cuaca, perairan pantai barat Sabah dijangka akan mengalami hujan lebat yang berterusan bermula hari ini dan ianya merupakan fasa permulaan bagi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada Oktober hingga Mac depan,” katanya

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre(MRSC) Kota Kinabalu telah merekodkan sebanyak 36 kes CARILAMAT bermula dari Januari hingga awal September tahun ini membabitkan seramai 114 orang mangsa.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 94 berjaya diselamatkan, 11 maut manakala sembilan  masih hilang serta belum ditemui.

“Pada hari semalam, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat telah menerima laporan berkaitan sebuah bot kayu yang mengalami kerosakan enjin dikedudukan sekitar 6.5 batu nautika timur Tanjung Kudat.

“Seorang lelaki, seorang perempuan bersama seorang kanak lelaki masing-masing berusia 50, 45 serta 7 tahun berjaya diselamatkan bot peronda Maritim Malaysia. Bot mangsa yang mengalami kerosakan ditunda ke Jeti Karakit, Pulau Banggi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Maritim Negeri Sabah akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan-kesalahan Bot Kecil Sabah 2008).

Katanya, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut mendapati berlaku kekerapan yang tinggi bagi kesalahan-kesalahan dilakukan oleh bot-bot nelayan tempatan berkaitan alat pemadam api kecil tamat tempoh, gagal melaporkan pertukaran juragan, membawa lebih penumpang dan tidak membawa jaket keselamatan.

“Sejumlah 125 kes dan tangkapan direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini melibatkan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah.

“Komuniti Maritim diseru untuk terus meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan laporkan sebarang kejadian kecemasan di laut menggunakan talian 999 (MERS) dan 088-387774 (Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *