SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi di perairan Kampung Bangau-Bangau, Semporna sekitar jam 5.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur diatur gerak ke lokasi setelah menerima maklumat dari Unit Perisikan Maritim Malaysia berkaitan pergerakan tiga bot mencurigakan berhampiran kelong ikan di kedudukan sekitar 0.5 batu nautika timur Kampung Bangau-Bangau.
“Ketika menghampiri lokasi, kelihatan tiga lelaki sedang melakukan aktiviti memindahkan barangan disyaki minyak masak bersubsidi daripada sebuah kelong ikan ke dalam tiga bot.
“Menyedari kehadiran bot ronda, salah seorang suspek telah bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke arah daratan yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kelong ikan dan bot suspek menemui 1,156 paket minyak masak bersubsidi dengan anggaran nilai sekitar RM2900 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Tambahnya, kesemua minyak masak beserta bot dirampas dan dua suspek berumur 16 dan 30 bukan warganegara ditahan untuk siasatan lanjut.
“Zon Maritim Semporna akan mengesan dan mengenal pasti serta memburu suspek yang melarikan diri itu. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarkan bernilai RM22,400.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. Bagi kesalahan penyeludupan minyak masak bersubsidi individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100 ribu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.,” katanya.
Dalam pada itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spots’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara untuk membanteras penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.
Katanya, Maritim Malaysia turut menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.