Ucapan Sulung PM Ismail Sabri Di PBB Bawa Mesej ‘Keluarga Malaysia’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

Saya mendengar ucapan sulung Dato’ Sri Ismail Sabri Yakoob, Perdana Menteri Malaysia di sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York semalam.

Saya telah mengikuti ucapan beberapa mantan Perdana Menteri kita sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun ucapan Ismail Sabri semalam ada keunikan yang tersendiri.

Pertama, Malaysia kekal dengan prinsip kemanusiaan yang tinggi apabila Ismail Sabri tidak ragu-ragu menyentuh isu Rohingya di Myanmar dan rakyat Palestin yang masih memerlukan pembelaan daripada sudut kemanusian sejagat, keselamatan serantau dan tanggungjawab global dunia.

Perdana Menteri Ismail Sabri menyeru PBB supaya benar-benar bersatu supaya lebih berkesan menyelamatkan rakyat daripada permusuhan yang berpanjangan di negara-negara berkonflik.

Menurut Ismail Sabri lagi, Malaysia akan terus bercakap isu-isu keamanan dan mencegah konflik dalam melaksanakan dasar luar. Ia sesuatu yang seiring dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan, kekitaan dan persaudaraan!

Kedua, Perdana Menteri Ismail Sabri juga menyentuh hal penting Sustainable Development Goals (SDG) supaya negara kita tidak ketinggalan atau terasing daripada arus global.

Sebagai sebuah negara yang kecil, rangkaian diplomatik dengan negara-negara luar sangat penting bagi memastikan Malaysia tidak terpinggir. Dunia bergerak sangat pantas, Malaysia tidak boleh berada di belakang dalam isu-isu global seperti IR4.0, SDG, dan kemanusiaan. Ia bergerak sangat pantas.

Perdana Menteri Ismail Sabri turut bercakap soal bekerjasama, mereformasi organisasi PBB dan berharap negara-negara anggota akan menunjukkan sifat keterbukaan, fleksibiliti dan political will yang kuat demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran masyarakat antarabangsa.

Kesimpulan, ucapan sulung Perdana Menteri Ismail Sabri di pentas antarabangsa semalam memberi keyakinan kepada negara kita bahawa Malaysia akan memainkan peranan besar di peringkat global.

Ianya merupakan gambaran awal kepada masyarakat antarabangsa akan dasar luar negara yang akan dibawa oleh Perdana Menteri Ismail Sabri.

Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan penganalisis politik dan kerajaan dalam bidang keselamatan negara, pembinaan negara bangsa dan patriotisme

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *