Program Sanitasi Sekolah Sekitar Kota Kinabalu Dilancar Hari ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga kerana Covid-19 telah menular di dalam komuniti.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua anggota masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan oleh Kerajaan di mana saja mereka berada untuk mengekang penularan pandemik ini.

Dr. Joachim, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata demikian semasa melancarkan program sanitasi sekolah di sekitar Kota Kinabalu di Sekolah Menengah (SM) Kian Kok sini hari ini.

Sekolah tersebut telah terpilih sebagai yang pertama disanitasi di bawah program tersebut.

Dr. Joachim berkata, sanitasi tersebut dikendalikan oleh Acechem Resources (Sabah) Sdn. Bhd. yang merupakan perintis kepada program sanitasi ini.

Kerja-kerja sanitasi seluruh bangunan sekolah, yang akan dilakukan seawal jam 8 pagi, turut melibatkan Persatuan Komuniti Toraja Malaysia Cawangan Kota Kinabalu dalam pelaksanaanya.

“Saya berharap inisiatif ini seterusnya akan dilaksanakan di sekolah-sekolah lain di sekitar Kota Kinabalu dan di daerah-daerah lain.

“Ini merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam membantu Kerajaan memutuskan rangkaian penularan Covid-19,” kata Dr. Joachim.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Persekutuan Industri Sabah (FSI) di bawah pimpinan Presidennya, Richard Y.H. Lim, dan Dato’ Kalina Wong, Pengarah Acechem Resources (Sabah) Sdn. Bhd. di atas inisiatif membantu sekolah-sekolah dalam menjalankan kerja-kerja sanitasi sebelum sesi persekolahan baharu dibuka tidak lama lagi.

Beliau juga mengalu-alukan lebih banyak lagi syarikat swasta untuk tampil melaksanakan program seumpama ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SM Kian Kok, Datuk Clement Yeh dan ahli-ahli FSI yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *