HomeUtamaHanya 17,000 Pelajar Dibenarkan Ke Sekolah Untuk Sesi Bersemuka

Hanya 17,000 Pelajar Dibenarkan Ke Sekolah Untuk Sesi Bersemuka

Read Time:1 Minute, 55 Second

Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU: Sebanyak 145 sekolah untuk kehadiran Murid Berkeperluan Khas (MBK) mula dibuka bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai hari ini di seluruh Sabah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, jumlah itu membabitkan 90 sekolah rendah dan 55 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain sebuah sekolah rendah swasta turut dibenarkan dibuka.

“Selain itu, sebanyak 103 sekolah menengah di bawah KPM di Sabah dan tujuh sekolah menengah swasta dibuka untuk kehadiran pelajar Semester 2 Tingkatan 6, manakala sebuah Sekolah Sukan Malaysia dan tiga sekolah antarabangsa turut dibuka hari ini.

“Untuk tujuan itu, kira-kira 17,000 atau tiga peratus sahaja murid dan pelajar di Sabah dibenarkan hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dr Mistirine berkata, mereka ini terdiri daripada murid dan pelajar berkeperluan khas di Sekolah Pendidikan Khas dan Kelas Pendidikan Khas serta pelajar Semester 2 Tingkatan 6.

Katanya, pelajar Semester 3 Pra Universiti Sekolah Sukan Malaysia dan pelajar sekolah antarabangsa yang akan menduduki peperiksaan turut dibenarkan hadir untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

“Rekod Jabatan Pendidikan negeri menunjukkan kira-kira 4,000 murid berkeperluan khas di sekolah rendah dan hampir 4,000 pelajar berkeperluan khas di sekolah menengah dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

“Bagi sekolah menengah di bawah KPM, kira-kira 8,000 pelajar Semester 2 Tingkatan 6 dibenarkan hadir ke sekolah, manakala seramai 201 pelajar Tingkatan 6 Atas atau Senior 3 bagi sekolah swasta,” katanya.

Tambahnya, bagi Sekolah Sukan Malaysia Sabah, hanya 24 pelajar Semester 3, Pra Universiti dibenarkan hadir. Selain itu ada 63 pelajar yang akan menduduki peperiksaan di sekolah antarabangsa turut dibenarkan hadir.

“Ketika ini ada empat sekolah antarabangsa di Sabah, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan Tawau, namun sebuah sekolah antarabangsa menangguhkan pembukaan sekolah selama seminggu,” katanya.

Sementara itu, katanya daripada 8,000 pelajar Semester 2 Tingkatan 6, kira-kira 2,500 tinggal di asrama dan mereka sudah kembali ke asrama sekolah masing-masing sejak semalam.

Secara keseluruhan, katanya pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah hanya membabitkan seramai kira-kira 3,000 guru.

Pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah adalah mengikut SOP pembukaan sekolah dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya