KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi musim banjir susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia pada hujung tahun ini dengan memastikan bekalan barangan persediaan mencukupi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penghantaran barang persediaan banjir ke daerah-daerah yang dijangka akan dilanda banjir sedang dilakukan.
“Seperti yang diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kita sedang mengalami peralihan monsun, kejadian hujan lebat dan ribut dijangka akan berlaku dalam bulan November dan Disember ini.
“Penghantaran barang-barang persediaan untuk menghadapi bencana banjir seperti tilam, bantal dan beberapa barang keperluan lain ke daerah-daerah yang sering mengalami banjir sedang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Depoh Simpanan Barang Bencana selepas merasmikan Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah bersama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Sembulan pagi tadi.
Shahelmey berkata, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca semasa musim hujan ini.
“Bagi mereka yang tinggal di kawasan cerun dan atas air, sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu bagi mengelak kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatan.
“Dengan memahami erti-erti tafsiran rasuah dan salah guna kuasa, maka nilai kerja budaya berintegriti ini akan dapat kita pupuk dan jadikan amalam harian.
“Sekiranya sikap tidak berintegriti menjadi satu barah yang berleluasa di semua jabatan ataupun kementerian yang ada di negeri ini, bayangkanlah impaknya terhadap negeri dan juga kualiti perkhidmatan yang sepatutnya kita beri kepada rakyat.
“Jadikanlah budaya berintegriti sebagai budaya kerja harian dan bukan sekadar sambutan tahunan,” katanya.