COVID-19: Sikap & Tahap Pematuhan SOP Antara Faktor Kepada Jumlah Jangkitan Harian Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU : Faktor kepada turun dan naik jumlah jangkitan harian COVID-19 di Sabah banyak dipengaruhi oleh sikap dan tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes yang didaftar lambat selepas keputusan diketahui juga menjadi penyumbang kepada kedudukan jumlah kes harian.

“Sekali lagi trend ‘yo-yo’ berlaku dalam kes harian negeri Sabah, dimana ia sekejap naik sekejap turun.

“Hari ini kes keseluruhan di Sabah menurun secara signifikan  kepada 705 (-115) berbanding 820 kes semalam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, sebanyak 16 daerah mencatatkan penurunan, 10 kes mencatatkan peningkatan dan 1 kes kekal dengan catatan sebagaimana semalam.

Katanya, trend catatan kes juga menunjukkan bahawa tidak ada daerah yang merekodkan kes melebihi tiga angka pada hari ini.

“Selain itu, kawasan bandar-bandar utama di Negeri Sabah juga mencatatkan penurunan berbanding semalam kecuali daerah Tawau yang mencatatkan margin peningkatan +10 kes.

“Hanya dua daerah di Negeri Sabah yang mencatatkan peningkatan ketara iaitu pada paras melebihi dua angka iaitu Kota Marudu +16 kes dan Tawau +10 kes,” katanya.

Katanya, sungguhpun Sabah merekodkan penurunan kes pada hari ini, trend perubahan angka bagi setiap daerah adalah tidak static.

“Namun analisis berdasarkan graf untuk kumulatif 30 hari, Sabah menunjukkan trend pelandaian.

“Daripada jumlah kes jangkitan yang direkodkan hari ini, 90.92 peratus daripadanya adalah dalam Kategori 1 (104) & Kategori 2 (537); Kategori 3 (4 kes), Kategori 4 (6 kes) dan Kategori 5 (3 kes),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *