HomeUtamaPelbagai Inisiatif Diambil Atasi Masalah Akibat Pandemik COVID-19

Pelbagai Inisiatif Diambil Atasi Masalah Akibat Pandemik COVID-19

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk pakej rangsangan ekonomi kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).

Pakej itu diperuntukkan bagi membantu golongan muda yang diberhentikan dan mereka yang kehilangan sumber pendapatan susulan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pakej itu adalah antara inisiatif yang diambil kerajaan negeri dalam belanjawan pada tahun ini untuk menangani cabaran yang belum pernah terjadi akibat pandemik itu.

Katanya, pandemik ini bukan sahaja menyebabkan kesukaran dalam ekonomi, tetapi juga masalah sosial, kesihatan dan pelbagai masalah lain, terutama yang mempengaruhi pembangunan belia dan modal insan.

“Dalam usaha mengukuhkan pembangunan modal insan dan menghasilkan generasi yang kompeten dan berdaya tahan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM22.96 juta dalam Belanjawan Negeri 2021 untuk melaksanakan kursus dan latihan kemahiran dalam teknologi, teknikal dan perdagangan.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM55 juta untuk biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam kursus berkaitan kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) hingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan khasnya di persidangan maya ‘Bridging the Skills Gap’ yang dianjurkan oleh MyProdigy Malaysia pada Minds for Malaysia (M4M) disini hari ini.

Hajiji berkata, bagi peringkat Persekutuan, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA berjumlah RM35 bilion.

Katanya, antara inisiatif PENJANA termasuk Program Subsidi Upah untuk mempromosikan pengekalan pekerja dan mengurangkan pemberhentian pekerja; pengambilan dan latihan bantuan untuk perniagaan.

“Ia bagi mendorong pengambilan pekerja dengan memberikan insentif kewangan kepada majikan; dan Program pemahiran semula (Reskiling) dan peningkatan kemahiran (Upskilling) yang bertujuan meningkatkan kebolehkerjaan.

“Pengangguran belia di Malaysia telah menjadi kebimbangan terutamanya di Sabah yang mana sebahagian besar belia terdiri daripada separuh kategori mahir dan berkemahiran rendah.

“Seperti kebanyakan dunia, Malaysia harus menghadapi cabaran dalam mendidik dan menggunakan belia yang seharusnya menjadi individu yang produktif untuk dapat menyumbang kepada pembangunan sebuah negara,” katanya.

Hajiji berkata, sekiranya pengangguran belia tetap tinggi dan berpanjangan, kesan negatif untuk jangka panjang akan berlaku terhadap keluarga dan masyarakat serta akan merosakkan negara.

Katanya, disebabkan pasaran pekerjaan menjadi lebih selektif dan berdaya saing, golongan muda terutama graduan baharu haruslah dinamik dan proaktif dalam menggabungkan pelbagai kemahiran dalam pengalaman mereka.

“Kembangkan kemahiran anda, tingkatkan kemahiran diri dan kebolehpasaran anda. Saya juga berasa gembira mengetahui bahawa persidangan ini juga akan menangani kepentingan kecerdasan emosi, memupuk kreativiti dan pemikiran kritis, kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehkerjaan.

“Kerajaan Negeri gembira dapat bekerjasama dengan MyProdigy Malaysia untuk memastikan kelancaran persidangan maya ini untuk kepentingan pelajar dan graduan, terutama belia Sabah.

“Saya percaya bahawa peserta akan mendapat manfaat daripada perkongsian pengalaman dalam persidangan ini ketika mereka bersiap untuk menceburkan diri di tempat kerja,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular