KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah pygmy betina ditemukan di Kawasan Santuari Hidupan Liar di Sukau dekat sini, pada Sabtu lepas (9 Okt).
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata kematian gajah yang dianggarkan berusia sekitar 25 tahun itu dipercayai disebabkan faktor keradangan pada organ dalaman mamalia berkenaan.
“Terlalu awal untuk mengesyaki terdapat sebarang perbuatan khianat.
“Sampel telah dihantar ke Pusat Racun Negara untuk analisis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supritendan Dzulbaharin Ismail berkata polis menerima laporan mengenai penemuan bangkai gajah itu oleh sekumpulan penyelidik hidupan liar pada kira-kira pukul 8.30 pagi di Kawasan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, berhampiran Sungai Resang, Sukau.
Beliau berkata tiada organ atau bahagian badan haiwan itu ditemukan dan mamalia berkenaan dipercayai telah mati dalam tempoh tiga atau empat hari lepas. – BERNAMA