KOTA KINABALU : Persatuan Pengguna Bijak Sabah menyarankan supaya pemaju perumahan khususnya di negeri ini membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah di Sabah.
Presidennya, David Chan berkata, pemaju perumahan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu mengejar keuntungan sebaliknya membantu kerajaan membina lebih banyak projek perumahan mampu milik demi manfaat rakyat.
“Pemaju perumahan juga disaran untuk membantu merealisasikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri. Mereka juga seharusnya lebih peka dengan keadaan ekonomi semasa.
“Pihak pemaju juga perlu memberi keutamaan dalam membina perumahan, premis perniagaan atau apa sahaja fasiliti bersesuaian yang bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga bermanfaat untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Lembaga Perumahan dan Perancang Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah disini semalam.
David berkata, kerajaan juga kini telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk tujuan itu seperti rumah mampu milik melalui LPBB.
Katanya, selain menjalin kerjasama erat dengan pelbagai syarikat dan pemaju perumahan atau hartanah yang beroperasi di negeri ini, pihaknay turut menyokong pengumuman Masiung berkenaan hasrat untuk membina lebih 10,000 rumah mampu milik di negeri ini.
“Dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar ketika ini, adalah lebih praktikal dan paling baik untuk pemaju perumahan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik berbanding skim perumahan mewah.
“Pastinya rakyat kita di luar sana masih ramai yang belum mampu memiliki kediaman kerana kos untuk membeli rumah adalah sangat mahal.
“Jika perumahan mampu milik dibina dengan lebih banyak, pasti ini satu berita baik dan diharapkan oleh ramai rakyat kita, khasnya di Sabah,” katanya.