HomeEkonomiKEPKAS Bantu Pengusaha Industri Pelancongan Untuk Jana Semula Pendapatan

KEPKAS Bantu Pengusaha Industri Pelancongan Untuk Jana Semula Pendapatan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) kini memberi tumpuan khususnya dalam membantu pengusaha industri pelancongan, memulihkan keyakinan pelancong sekaligus memastikan sektor pelancongan di Sabah mampu menjana semula pendapatan secara berterusan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, susulan pengumuman oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi kebenaran untuk rentas daerah dan negeri, kementeriannya kini giat melaksanakan pelbagai pendekatan baharu termasuk kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi memulihkan semula industri pelancongan serta mampu merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri Sabah.

“Antaranya termasuk sesi libat urus secara maya untuk pameran pelancongan Sabah yang turut melibatkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan bekerjasama dengan perdagangan luar negara dalam kempen media sosial,” kata Jafry.

Dalam pada itu, bagi menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor ini, kerajaan negeri juga telah memberi bantuan khas termasuk para pengusaha penginapan.

Menurut Jafry, bantuan secara one off RM2,000 diberikan kepada pengusaha pelancongan seterusnya RM300 kepada pemandu pelancongan, penggiat seni, divemaster, malim gunung dan porter.

Katanya, untuk pengusaha hotel dan penginapan, masing masing menerima RM5,000 kepada hotel bertaraf 5 dan 4 bintang. Manakala hotel bertaraf 3, 2, dan 1 bintang menerima RM2,000. Turut menerima manfaat sama , hotel yang belum mendapat pengiktirafan, persatuan Homestay dan juga Persatuan Pelancongan Luar Bandar masing-masing mendapat bantuan one off sebanyak RM1,000.

Selain itu, kementerian juga menawarkan insentif untuk menggalakkan aktiviti Pelancongan Domestik serta penganjuran aktiviti perniagaan termasuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Semua pihak perlu sedar untuk mengembalikan sektor ini kepada keadaan sebelum berlakunya wabak COVID-19 bukan satu perkara mudah,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, pengusaha pelancongan kini mampu menarik nafas lega susulan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan yang membolehkan mereka beroperasi semula.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Lembaga Pelancongan Sabah ke atas pengusaha industri pelancongan baru baru ini menunjukkan 1 peratus yang telah menutup terus perniagaan mereka.

Manakala 48% hanya menutup sementara operasi ekoran pelaksanaan perintah kawalan Pergerakan PKP. Seterusnya, pengusaha pelancongan yang masih menjalankan operasi sepenuhnya sehingga kini adalah sebanyak 45.5%.

Dalam pada itu, Jafry turut memberi jaminan bahawa kementerian akan sentiasa mendengar keluhan dan cabaran yang dihadapi pemain industri di semua peringkat seterusnya bersama-sama untuk mengatasinya secara komprehensif.

“Justeru, KEPKAS akan terus membuat pendekatan yang baharu, terkini dan relevan dengan perkembangan semasa dalam usaha memulihkan sektor pelancongan, seterusnya kembali menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar di negeri Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular