KOTA KINABALU: Seorang pakar psikiatri forensik mendedahkan hasil autopsi psikologi merumuskan cara kematian Zara Qairina Mahathir adalah paling konsisten dengan mengakhiri nyawa sendiri (suicide).
Dr Chua Sze Hung, 43, berkata Zara mempunyai lebih banyak faktor risiko mengakhiri nyawa sendiri berbanding faktor yang boleh melindunginya ketika kejadian.
“Pada pandangan saya, jelas bahawa ketika kejadian, si mati menunjukkan lebih banyak faktor risiko mengakhiri nyawa sendiri (predominance of suicide risk factors) berbanding faktor yang boleh melindunginya (protective factors).
“Ketidakseimbangan ini meningkatkan kerentanan terhadap tindakan mengakhiri nyawa sendiri.
“Gabungan masalah yang sudah wujud dan peristiwa yang berlaku ketika itu mendorong tindakan terakhir beliau. Ini menunjukkan bahawa tindakan itu kemungkinan dilakukan untuk menamatkan penderitaan (an act to end suffering), dalam keadaan tekanan emosi yang sangat berat (overwhelming acute distress), pertimbangan terganggu (impaired judgment), dan kemampuan untuk mengawal diri berkurangan. Ia bukanlah satu tindakan yang dirancang dengan teliti.
“Oleh itu, autopsi psikologi ini menyimpulkan bahawa cara kematian paling konsisten dengan bunuh diri,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi dalam bahasa Inggeris di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Chua, yang berkhidmat sebagai pakar psikiatri forensik di Hospital Mesra Bukit Padang sejak November 2022, berkata Jabatan Peguam Besar Sabah telah memohon penilaian psikiatri terhadap si mati daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 17 Sept 2025.
Beliau berkata satu pasukan tiga anggota telah dilantik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 19 Sept 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan autopsi psikologi. Pasukan itu terdiri daripada beliau sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja Dr Nurulwafa Hussain serta ahli psikologi klinikal Norhameza Ahmad Badruddin.
Dr Chua menambah bahawa laporan tersebut disediakan atas permintaan Jabatan Peguam Besar Sabah bagi membantu inkues Mahkamah Koroner berhubung kematian Zara, dan beliau telah menyediakan, menandatangani serta mengecop laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Feb tahun ini untuk mahkamah.
Beliau berkata laporan itu memberi tumpuan utama kepada isu kebarangkalian Zara membunuh diri dan, jika benar, dalam keadaan bagaimana ia boleh berlaku.
“Saya memahami bahawa tanggungjawab utama saya adalah kepada Mahkamah, sama ada dalam penyediaan laporan mahupun ketika memberi keterangan secara lisan. Saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyediakan laporan ini dengan tepat dan lengkap,” katanya.
Dalam menyediakan laporan tersebut, Dr Chua berkata pelbagai sumber maklumat telah dipertimbangkan dan dokumen berkaitan telah diteliti, termasuk diari Zara, laporan tempat kejadian dan bedah siasat oleh Dr Jessie Hiu, Pakar Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth, serta lawatan ke asrama dan bilik darjah Zara.
Dalam dapatan dan kesimpulan autopsi psikologi itu, Dr Chua berkata beliau tidak percaya si mati telah ditolak secara fizikal kerana tiada bukti yang kukuh pada masa laporan disediakan untuk menyokong dakwaan tersebut.
“Terdapat maklumat yang menunjukkan ketidakstabilan emosi, kemarahan yang kuat, tingkah laku mencederakan diri, hubungan interpersonal yang tidak stabil serta ketakutan terhadap penolakan; namun ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
“Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya bahawa si mati mengalami penyakit mental serius yang boleh didiagnosis sebelum kejadian yang didakwa berlaku,” katanya.
Dr Chua berkata bunuh diri merupakan perbuatan mencederakan diri secara sengaja yang membawa kepada kematian dan ia adalah fenomena kompleks dengan pelbagai faktor penentu. Menurutnya, adalah tidak tepat untuk mengaitkan semua kes bunuh diri dengan penyakit mental yang boleh didiagnosis.
Beliau berkata berdasarkan rujukan kajian, kira-kira satu perlima daripada percubaan bunuh diri sepanjang hayat berlaku tanpa sebarang gangguan psikiatri yang jelas, manakala lebih separuh daripada individu yang meninggal dunia akibat bunuh diri tidak mempunyai rekod masalah kesihatan mental yang diketahui.
Dr Chua menambah bahawa bunuh diri merupakan antara punca utama kematian dalam kalangan remaja lebih berusia, dan hampir tiga daripada lima kes kematian bunuh diri dalam kalangan belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental terdahulu.
Beliau berkata satu kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun mempunyai risiko lebih tinggi untuk cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, manakala pelajar yang ibu bapanya tinggal berasingan juga menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk cubaan tersebut.
“Dalam kes si mati, faktor risiko termasuk tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang tertekan, persepsi diri negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik yang tidak memuaskan, sejarah penggunaan e-rokok, kemarahan atau agresif secara lisan, kecederaan diri tanpa niat bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.
“Faktor pencetus pula termasuk satu peristiwa hidup yang tertekan (sesi soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan lain yang menyumbang termasuk kekurangan tidur kronik serta kekecewaan akibat peringatan BADAR,” katanya.
Menurut Dr Chua, beberapa faktor risiko bunuh diri telah pun wujud sebelum si mati memasuki SMKA Tun Datu Mustapha.
Beliau turut berkata bahawa sebelum ini beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar dalam kes pembunuhan, pengedaran dadah dan kesalahan seksual yang dirujuk untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, serta pernah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah dan Mahkamah Syariah di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.



