HomeUtamaPICK : PPV IPT-UMS Berjaya Laksana Pemberian Suntikan Vaksin Kepada 115,841 Penerima

PICK : PPV IPT-UMS Berjaya Laksana Pemberian Suntikan Vaksin Kepada 115,841 Penerima

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU : Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (PPV IPT-UMS) telah berjaya melaksanakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada 115,841 orang penerima dalam tempoh empat bulan yang lalu.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, dari jumlah itu sebanyak 104,944 orang adalah penerima awam manakala 10,897 adalah penerima dari kalangan pelajar dan pensyarah UMS.

Katanya, PPV IPT-UMS yang mula ditutup sepenuhnya hari ini turut membantu kerajaan memberikan perlindungan imunisasi COVID-19 kepada seramai 9,167 remaja berusia 12 hingga 17 tahun jenis Pfizer sejak 16 September lalu.

“PPV IPT-UMS adalah salah sebuah PPV institusi pengajian tinggi yang diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri lainnya.

Laskar kelas I Maritim Muhamad Luqman Shafiq Mat Yaakub menjadi penerima terakhir dos vaksin di PPV IPT UMS

“Sebagai PPV kategori 5, PPV IPT-UMS pada mulanya mensasarkan pemberian vaksin sebanyak 1000 dos sahaja sehari. Namun, disebabkan kejayaan operasinya, jumlah sasaran dos telah ditingkatkan kepada 3000 dos sehari dengan rekod tertinggi dicatat sebanyak 3,480 dos pada 4 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pengoperasian PPV IPT-UMS disini petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Hospital UMS Profesor Dr Helen Benedict Lasimbang.

Taufiq berkata, Hospital UMS (HUMS) turut menyertai beberapa program jangkauan luar bagi membantu Kerajaan Negeri mempercepatkan lagi kadar vaksinasi di Sabah  khususnya kepada masyarakat luar kawasan bandar atau yang mempunyai masalah akses untuk datang ke PPV.

Katanya, selain kawasan luar bandar, pemberian vaksin turut diberikan dikawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan beberapa kampung sekitar Kota Kinabalu.

“Sehingga hari ini, seramai 7,803 orang telah menerima manfaat suntikan vaksin COVID-19 di bawah program jangkauan luar yang disertai oleh HUMS,” katanya.

Sementara itu, Taufiq berkata, UMS akan terus memberikan komitmen dan menyokong program jangkauan luar vaksinasi bagi membantu memastikan Negeri Sabah mencapai sasaran vaksinasi COVID-19 secepat mungkin.

“Menyedari bahawa tugas memberikan vaksinasi itu adalah satu khidmat yang murni tetapi berisiko tinggi, saya mendo’akan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan terutama kepada para petugas barisan hadapan program vaksinasi UMS,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, UMS turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menyalurkan sumbangan dana bagi sejumlah RM1.5 juta bagi membiayai operasi PPV IPT-UMS.

“Sudah pasti, sumbangan tersebut membuktikan kepercayaan Kerajaan Negeri Sabah terhadap UMS untuk memberikan perkhidmatan terbaik melalui vaksinasi kepada penduduk yang tinggal di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular