HomeIsu tempatanPRO Perlu Kuasai PR Digital

PRO Perlu Kuasai PR Digital

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Pegawai Perhubungan Awam (PRO) perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan menguasai kemahiran Perhubungan Awam (PR) Digital.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata pengetahuan serta kemahiran tersebut amat penting dalam skop tugas sebagai PRO seiring dengan keperluan perkhidmatan masyarakat dalam era digital masa kini.

“Selain penulisan korporat dan media, PRO mesti menguasai kemahiran teknologi digital khususnya dalam media sosial.

“Paling penting, mereka perlu mempunyai kepekaan yang super tinggi dan super sensitif terhadap isu-isu semasa di jabatan tempat bertugas, di samping berkeupayaan menganalisis dan menyelesaikan isu tersebut,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, salah satu tugas PRO adalah mengurus persepsi dan aduan awam yang diterima dan membangun imej korporat organisasi mewakili fungsi-fungsi utama jabatan yang berkaitan.

Oleh itu, peranan PRO dilihat mustahak dalam setiap jabatan terutama dalam memberi nasihat, pandangan, meningkatkan imej jabatan dan mengurus persepsi organisasi.

Beliau ditemui media selepas mempengerusikan mempengerusikan Mesyuarat PRO JaPen Sabah Bil.1/2021 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Sabah di sini, pada Jumaat.

Menurut Nadzerah, mesyuarat dwitahunan yang diadakan dengan pematuhan SOP itu adalah sebagai platform penyaluran dan perkongsian maklumat di antara JaPen Sabah dengan jabatan tempat PRO bertugas.

“Kita membincangkan program-program kolaborasi di antara JaPen dan di jabatan tempat PRO ditugaskan untuk memastikan program yang dianjurkan mendapat impak besar.

“Mesyuarat ini juga adalah sebagai medium dua hala dan sebagai saluran PRO dalam menyuarakan pandangan atau pendapat dengan idea yang bernas untuk kepentingan kedua-dua organisasi,” jelasnya.

Pada mesyuarat itu, Nadzerah menyerahkan bahan promosi kepada Ketua Penolong Pengarah Keurusetiaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Supian Musa yang mewakili PRO dan menyampaikan Anugerah PRO Terbaik Tahun 2021 kepada Penolong Pegawai Penerangan Bahagian Unit Perubatan Transfusi, Hospital Kanak-Kanak Sabah, Yahya Abdul Rajak.

Untuk rekod, seramai 31 kader PRO jabatan itu kini bertugas di kementerian serta jabatan kerajaan di Sabah yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah (PSUPS), Kolej Komuniti Tawau, Hospital Beaufort, Hospital Kudat, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II, Politeknik Kota Kinabalu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Tuaran, Hospital Beaufort dan Hospital Keningau, selain Esscom.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin, KPP Penerbitan Dasar Negara, Busmin Brahim, KPP Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS), Razif Che Hashim dan KPP Unit Keurusetiaan, Ahmad Fauzi Lamsin. – PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular