BERNAMA
LAHAD DATU: Seramai 14 individu termasuk wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan 103 lubang dan terowong aktif baharu dikorek dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di sini oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ogos lalu.
Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat, berkata individu itu dipercayai dalam kalangan warga tempatan dan asing, selain pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas penilaian dibuat berdasarkan analisa lapangan di enam kawasan penempatan sementara pelombong itu.
Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan ke kawasan itu pada 8 Oktober lalu, PGA berjaya menemukan senjata seperti bakakuk iaitu sejenis senapang patah buatan sendiri dan peluru hidup di kawasan penempatan sementara yang turut dirobohkan.
“Sebanyak enam kawasan membabitkan penempatan sementara ditemui iaitu pondok diduduki pelombong di kawasan Sungai Bole yang menjadi lokasi berlaku kegiatan haram itu.
“Tempat tidur mereka sekurang-kurangnya memuatkan 14 orang dengan tidak kurang dua wanita turut bersama.
“Tiada suspek khusus setakat ini dan setiap kumpulan (melombong) biasanya tiga orang iaitu seorang mengorek dalam terowong jajaran emas mendatar, seorang lagi mengangkut tanah dikorek daripada jajaran emas itu keluar ke permukaan tanah dan seorang lagi mendulang emas di sungai berhampiran,” katanya.
Pada 20 Ogos lalu, PGA melalui Op Khazanah bersama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar, menemukan lokasi aktiviti haram itu selepas menempuh 72 kilometer perjalanan bermula dari Ladang Ongkor.
Toipi berkata, pasukan operasi juga menemukan lokasi melombong emas berkenaan di sepanjang kilometer satu hingga lapan di kawasan Sungai Bole, dan di kilometer lapan sebanyak 103 lubang serta terowong dipercayai baru dikorek.
“Susulan penemuan itu, saya mengetuai pasukan ada masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan menggeledah lokasi, sekali gus membawa kepada penemuan tiga kawasan simpanan mengandungi barang makanan, peralatan, dapur, barangan peribadi serta peralatan melombong,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya pernah memanggil seorang lelaki yang mengaku selama enam tahun terbabit menjadi pengangkut dan penggali lombong emas di kawasan itu sebelum ini, malah mengikut maklumat individu terbabit adalah orang tempatan, selain PATI warga Filipina.
Sementara itu, Toipi berkata, Jabatan Perhutanan Sabah memiliki unit keselamatan sendiri bagi menangani sebarang kes yang berlaku dalam kawasan hutan simpan kelas satu kendalian jabatan itu.
Katanya, tindakan pelombong itu bukan saja mencuri khazanah negara, malah turut membahayakan nyawa kerana berdasarkan risikan terdapat empat kematian pernah berlaku di kawasan itu.