HomeUtamaKerajaan Fokus Tangani Cabaran Kesihatan & Urus Ekonomi Secara Mampan

Kerajaan Fokus Tangani Cabaran Kesihatan & Urus Ekonomi Secara Mampan

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi fokus utama bagi menangani cabaran kesihatan dan keselamatan secara berkesan selain mengurus ekonomi secara mampan serta strategik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perjuangan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi ketika penularan pandemik COVID-19 ini penuh dengan cabaran selain ramai yang tertekan dan risau dengan persekitaran kesihatan serta ekonomi yang masih terumbang-ambing.

“Banyak yang sudah dan sedang kerajaan lakukan bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan di samping mempelbagaikan punca pendapatan rakyat.

“Dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disusun, sememangnya pembangunan ekonomi negeri dan rakyat menjadi agenda utama kerajaan ketika ini”, katanya sempena majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah tahun 1443H/2021M di sini hari ini.

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah yang bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji berkata, tahun ini adalah kali kedua Maulidur Rasul tidak diraikan secara tradisi dengan perhimpunan besar-besaran dan berarak, disebabkan pandemik COVID- 19 yang melanda seluruh dunia.

“Bagaimanapun, pandemik ini tidak menghalang semangat serta hasrat umat Islam untuk menyemarakkan majlis Maulidur Rasul yang cukup signifikan ini. Sunnah yang ditinggalkannya menjadi pedoman dalam kehidupan pelengkap keimanan seseorang Islam.

“Maulidur Rasul tahun ini juga membawa kita menjejaki ambang perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, (RMK-12) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu.

“Pastinya bukan soal jumlah peruntukan yang kita perolehi, tetapi seboleh mungkin ia akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara. Justeru, kerajaan telah merangka pelan pembangunan SMJ bagi mendepani cabaran ini yang berfokus kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan,”katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, di peringkat negeri, kerajaan telah melonggarkan sekatan perjalanan rentas daerah yang berkuatkuasa pada 14 Oktober lalu, manakala rentas negeri bermula 1 November ini.

“Saya berharap kebenaran ini mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan peluang kepada rakyat untuk hidup seperti dahulu walaupun dalam keadaan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata masa depan negeri ini terletak kepada keupayaan generasi muda hari ini yang bakal mengemudi dan menjayakan hala tuju negeri.

“Justeru, kekuatan dan potensi golongan muda di negeri ini akan terus diperkasakan. Ini kerana kemajuan dan kecemerlangan ummah tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya memerlukan transformasi minda dan tindakan, komitmen dan perancangan teliti, serta usaha yang bersepadu dan berterusan,” katanya.

Menyentuh konsep Keluarga Malaysia, beliau berkata,seluruh rakyat harus bertoleransi, saling menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini merupakan sumber kekuatan kita dan perlu dipertahankan berasaskan prinsip rukun negara.

“Sabah telah lama menjadi contoh terbaik dalam keharmonian rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kita adalah contoh kepada konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri”, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular