Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Kira-kira 300 penduduk hadir ke Forum Khas Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Puncak Taqwa (MPT) Pekan Kinarut dekat sini, pada Selasa malam.
Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (MDN) Sabah, Samin Ongki berkata, forum tersebut adalah forum kali pertama secara bersemuka selepas era pandemik dan sejak Sabah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Forum dijayakan melalui Kerjasama strategik Majlis Dakwah Negara ( MDN ), Jawatankuasa MPT dan RTM serta SabahFM, mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat sekitar Kinarut dan Lok Kawi.
“Kehadiran yang ramai memperlihatkan kerinduan umat Islam kepada majlis ilmu yang tidak dapat diadakan secara bersemuka sejak hampir dua tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19 melanda seluruh negara, ini sekaligus menunjukkan minat orang ramai kepada majlis-majlis ilmu tidak pudar dan masih mekar”, katanya.
Walau bagaimanapun kata Samin, majlis tersebut diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Forum yang bertajuk ‘Rindu Padamu’ itu menampilkan dua tokoh penceramah iaitu Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar dan Timbalan Dekan Penyelidikan Dan Inovasi Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ustaz Dr Sarip Adul.
Manakala Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia ( ILIM ) Kampus Kundasang, Ustaz Mohd Shamsuri Ghazali sebagai moderator forum.
Dalam pada itu, pelbagai acara turut diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul MPT antaranya Kempen Derma Darah dan Perujian Memanah (Tertutup) MPT.
Seramai 28 penderma yang layak menderma darah di MPT yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak petugas kesihatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
Turut hadir menjayakan majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap ADUN Tg Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pengerusi MPT Dr Awang Setia Musleh serta anggota Ahli Jawatankuasa MPT.
Forum tersebut akan disiarkan di radio SabahFM jam 8.00 malam khamis ini melalui rancangan Forum Anjung At Taqwa SabahFM.