HomeIsu tempatanICE 2021 Inisiatif UMS Himpun Ahli Akademik dan Profesional Bincang Isu Cabaran...

ICE 2021 Inisiatif UMS Himpun Ahli Akademik dan Profesional Bincang Isu Cabaran Ekonomi Era Pandemik

Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Melihat kepada cabaran semasa ekonomi negara dan masyarakat yang terkesan akibat Pandemik COVID-19, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif menghimpunkan ahli akademik dan golongan profesional dari pelbagai agensi melalui penganjuran Persidangan Antarabangsa Ekonomi 2021 (ICE 2021) Kali Ke-3.

Bertemakan “Bergerak Ke Hadapan Untuk Kelestarian Ekonomi Dunia Pasca COVID-19: Pengajaran, Isu dan Cabaran”, penganjuran persidangan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam satu majlis yang berlangsung secara maya melalui platfrom Facebook rasmi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS dan aplikasi CISCO WEBEX.

Dalam ucapan perasmiannya, Taufiq menekankan keperluan yang amat mendesak daripada pihak kerajaan untuk campur tangan bagi mengurus krisis pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada rakyat dan negara.

“Dunia dilanda teruk oleh pandemik ini termasuk Malaysia dan jelas menjadi pencetus kepada kemelesetan ekonomi.

“Kelembapan aktiviti ekonomi disebabkan ramai orang kehilangan punca pendapatan telah menjejaskan ekonomi di Malaysia.

“Namun, pelbagai inisiatif bantuan oleh pihak kerajaan seperti Bantuan Khas COVID-19 yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah, dan Bantuan Prihatin Rakyat yang melibatkan peruntukan RM4.9 bilion jelas membantu meringankan beban rakyat khususnya yang terlibat dalam masalah kewangan,” katanya.

Taufiq menambah, cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia akibat pandemik COVID-19 adalah nyata sehingga memberi kesan negatif termasuk dalam aspek kesihatan mental.

“Individu yang kehilangan sumber pendapatan dikaitkan dengan peningkatan kes kemurungan, tekanan dan kebimbangan yang mampu menjurus kepada kadar kes yang lebih tinggi terhadap penyalahgunaan bahan terlarang, penyakit mental dan bunuh diri.

“Walau bagaimanapun, campur tangan kerajaan dalam menangani krisis ini akan memastikan Malaysia berada dalam landasan yang tepat untuk proses pemulihan dan dalam masa yang terdekat juga, pandemik ini akan berubah menjadi endemik dan akan hidup dalam kalangan masyarakat,” kata Taufiq.

Terdahulu, Dekan FPEP, Prof. Datuk Haji Kasim Haji Md. Mansur memaklumkan, persidangan ini bakal menjadi satu platform kepada para penyelidik, ahli akademik, pengamal ekonomi dan perniagaan, serta pelbagai pihak berkepentingan untuk menghimpunkan dan berkongsi ilmu, pengalaman dan informasi terkini berkaitan bidang ekonomi.

“Tema persidangan pada kali ini sangat relevan kerana dalam satu setengah tahun kebelakangan ini kita telah mempelajari begitu banyak pengajaran, isu dan cabaran akibat pandemik COVID-19 menjejaskan sistem ekonomi seluruh dunia.

“Implikasi jangka pendek cabaran global ini jelas di serata dunia, namun kesan jangka panjang akibat pandemik ini, yakni berkaitan bagaimana untuk membentuk semula dan mengekalkan ekonomi dunia masih sukar untuk dibayangkan.

“Melihat kepada pengajaran yang kita lalui jelas menunjukkan betapa negara di seluruh dunia saling berkaitan dan saling bergantung.

“Tidak ada kaedah untuk menangani krisis COVID-19 di peringkat nasional sahaja, kerana untuk ekonomi dunia yang mampan perlunya ada kerjasama antarabangsa dan multilateralisme,” ujar Kasim.

Persidangan dua hari itu turut disertai oleh peserta dari luar negara antaranya dari China, Myanmar, Bangladesh, India, Australia, Arab Saudi, Pakistan, Mexico dan Amerika Syarikat, dengan sejumlah 48 kertas kerja bakal dibentangkan.

Hadir sama pada majlis perasmian pengucap tama persidangan, Profesor Dr. Mansor Ibrahim dari International Centre for Education in Islamic Finance dan Professor Dr. Law Siong Hook dari Universiti Putra Malaysia; penceramah jemputan, Prof. Dr. Ng Kwan Hoong dari Universiti Malaya; dan pengerusi persidangan ICE 2021, Prof. Madya Dr. Sarma Aralas.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular