MAFI Cadang Penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Di Setiap Negeri

Read Time:1 Minute, 35 Second

ROMPIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan di setiap negeri kepada Jawatankuasa Kabinet bagi memudahkan urusan pembangunan industri agromakanan negara.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata cadangan itu akan dikemukakan dalam masa terdekat dan ia dibuat memandangkan tanggungjawab dalam aspek sekuriti makanan bukan hanya terletak di bawah kerajaan Persekutuan, namun juga melibatkan kerajaan negeri.

“Bagi pihak kementerian, kita mencadangkan ahli jawatankuasa di peringkat negeri akan terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan di samping penglibatan agensi serta jabatan yang berkaitan.

“Pendekatan ini dilihat dapat memudahkan pelbagai aspek seperti penyediaan tanah dan infrastruktur asas dalam memajukan industri agromakanan negara,” katanya selepas meninjau operasi kilang pemprosesan susu Syarikat Farm Fresh Berhad di Muadzam Shah di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Ronald berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu juga dapat memenuhi Dasar Agromakanan Negara dalam membangunkan pelbagai industri terlibat seperti tenusu, industri berdaging dan ladang.

Selain itu beliau berkata pengeluaran susu segar di Malaysia setakat ini adalah amat memuaskan kerana majoriti daripada 69.4 juta liter penggunaan susu dalam negara pada tahun lepas dihasilkan di negara ini, iaitu sebanyak 43.3 juta liter.

Menurut beliau Syarikat Farm Fresh menjadi penyumbang terbesar iaitu 22 peratus atau 9.6 juta liter manakala baki 26.1 juta liter diimport dari Australia, New Zealand dan negara lain.

Beliau berkata Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 telah diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi mencapai matlamat meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran susu tempatan yang menggariskan lapan strategi dan 15 aktiviti.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-12, antara program memajukan industri tenusu ialah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara dengan peruntukan sebanyak RM42 juta, Program Naik Taraf Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (RM16.4 juta) dan Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (Tenusu) (RM48.88 juta). – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.