HomeUtamaCOVID-19 : Sabah Rekod Satu Kluster Libatkan Pelajar Asrama

COVID-19 : Sabah Rekod Satu Kluster Libatkan Pelajar Asrama

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan satu kluster baharu melibatkan pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh Ranau disini hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu turut melibatkan warden asrama dan keluarganya.

“Satu kluster baharu di isytiharkan di Kampung Kemburongoh, Ranau. Ia melibatkan pelajar-pelajar yang tinggal di asrama SMK Kemburongoh serta warden asrama dan keluarga beliau.

“Setakat ini 22 orang disahkan positif dan indeks kes ialah seorang pelajar yang tinggal di asrama,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini menurun sebanyak 58 kes kepada 541 kes berbanding 599 kes yang direkodkan semalam.

Katanya, penurunan kes baharu itu melibatkan di beberapa buah daerah seperti Tuaran (-39), Kota Belud (-24) dan Keningau (-14).

“Walau bagaimanapun, kes-kes baharu bertambah agak tinggi di Penampang (+25) dan Tenom (+33),” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala amat tinggi, yakni 41.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan .

Katanya, di Kota Kinabalu, 43 daripada 93 kes hari ini adalah kes-kes yang diperolehi melalui saringan bergejala; 24 daripada 56 kes di Tuaran dan 15 daripada 28 kes di Kota Belud.

“Kes-kes dalam kategori ini juga dikenali sebagai kes-kes sporadik kerana tidak diketahui dimana jangkitan berlaku dan daripada siapa.

“Yang pasti ia banyak berkait rapat dengan kegagalan mematuhi prosedur standard operasi (SOP),” katanya.

Katanya, penduduk diingatkan untuk terus mematuhi semua SOP walaupun sudah memperolehi vaksin lengkap.

“Sepertimana yang telah dinyatakan berulangkali, vaksin lengkap tidak menjadikan kita kebal daripada jangkitan.

“Vaksin cuma menyelamatkan kita daripada kesan serius jangkitan COVID-19 yang boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, keberkesanan vaksin dapat dibuktikan melalui statistik harian pesakit-pesakit jangkitan COVID-19.

“Setiap hari secara purata 98 peratus pesakit COVID-19 hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

“Mereka tidak memerlukan rawatan di hospital. Hari ini cuma seorang pesakit dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan tiga orang dalam Kategori 5,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular