HomeUtamaPenduduk Mula 'Naik Angin', Gesa Pengarah JANS Letak Jawatan

Penduduk Mula ‘Naik Angin’, Gesa Pengarah JANS Letak Jawatan

Read Time:3 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Isu bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan khususnya di sekitar Parlimen Sepanggar terus berlarutan mengakibatkan penduduk mula ‘naik angin’ dengan isu yang tidak ada jalan penyelesaian segera.

Pengguna air di kawasan Sepanggar turut menggesa agar Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)  Edwad Lingkapo meletakkan jawatan atau diganti dengan Pengarah JANS yang lebih berkemampuan untuk menyelesaikan isu bekalan air.

Malah penduduk di beberapa kawasan perumahan di kawasan itu juga tidak menerima bekalan air hampir lebih lima hari berturut-turut malah ada yang berminggu.

Difahamkan, pengguna air telah melakukan pelbagai platform bagi mendapat perhatian pihak berkaitan bagi memastikan isu bekalan air ini dapat diatasi dengan lebih segera.

Ia termasuklah membuat rayuan, membuat hebahan menerusi media cetak dan media elektronik, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian yang menyeluuruh diterima dari pihak JANS.

Berikutan itu, pengguna di kawasan berkenaan meluahkan rasa ketidakpuasan hati menerusi laman sosial selain ada yang menubuhkan ‘Group Telegram’ bagi menyuarakan masalah yang dihadapi mereka.

Bagi seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Hazaidi berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong  yang mengalami kerosakan bukan alasan untuk JANS mengabaikan keperluan pengguna sehingga lebih seminggu.

“Air ini merupakan keperluan asas semua pihak, jika LRA Telibong mengalami kerosakan, pihak JANS perlu mencari jalan penyelesaian lain.

“Ya, memang ada dibekalkan penghantaran air melalui lori, namun itu tidak mencukupi bagi keperluan harian kami sebagai pengguna, lebih-lebih lagi kami yang tidak di kawasan perumahan yang diurus oleh pihak pengurusan swasta.

“Selain JANS, pihak pengurusan perumahan juga perlu mengambil jalan penyelesaian dengan menyediakan lebih banyak tangki dan membuat persediaan lebih baik agar semua pengguna tidak rugi membayar bil air setiap bulan,” katanya.

Bagi pengguna di sebuah kawasan perumahan bertaraf ‘Kondominium’, Farizah turut meluahkan perasaan sama apabila hampir setiap hari menerima ‘angin’ apabila membuka paip di rumahnya.

Katanya, setiap hari dia terpaksa mengangkat air yang dibawa dari luar dan diambil di kawasan yang mempunyai bekalan air untuk dibawa pulang ke rumah.

“Selain mencari bekalan air dari luar, saya juga terpaksa membeli air mineral bagi menampung keperluan harian saya di rumah, ini juga akan menambah kos perbelanjaan harian saya selain membayar bil air bulanan namun hanya ‘angin’ kami terima.

“Situasi ini agak menyukarkan saya kerana terpaksa mengangkat air ke tingkat atas berikutan perumahan saya tidak menyediakan perkhidmatan lif, bayangkan jika seorang ibu mengandung atau mereka yang orang kurang upaya (OKU), sudah pasti ini amat menyukarkan.

“Justeru itu, saya berharap agar pihak pengurusan perumahan dapat lebih bijak dalam menyelesaikan masalah air di kawasan perumahan ini selain JANS juga perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih pantas, agar semua pengguna dapat menikmati kemudahan dengan baik,” katanya.

Berbeza bagi penduduk di kawasan perumahan sama yang mahu dikenali sebagai Mustaqim menyeru agar Pengarah JANS bertanggungjawab dengan isu bekalan air yang tidak berkesudahan sehingga kini.

“Kepada tuan Pengarah JANS, sila letak jawatan jika tidak mampu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di kawasan Sepanggar ini.

“Saya difahamkan kerosakan LRA Telibong akan diselenggara dan siap dalam beberapa minggu dan ada LRA yang akan siap dalam beberapa tahun lalu,  tetapi bekalan air ini diperlukan setiap hari.

“Perkara ini bukan baru, ia telah lama berlaku, selain JANS, pihak pengurusan rumah juga perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan,”katanya.

Terdahulu, masalah bekalan air di kawasan ini memang sudah wujud sejak bertahun-tahun, namun ia semakin teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Untuk mengatasi masalah bekalan air ini, kebanyakkan mereka sanggup membeli berkarton-karton air mineral untuk disimpan di rumah, mahupun menumpang di rumah kawan atau menyewa bilik hotel.

Walaupun sudah berkali-kali membuat aduan kepada JANS, alasan yang mereka terima seolah-olah pihak jabatan lepas tangan dengan masalah yang tidak berkesudahan itu.

Antara alasan yang sering diberi oleh jabatan itu adalah ‘Juruteknik akan membuat pemeriksaan’ atau ‘penyelenggaraan akan dilakukan’.

Sebelum ini juga, Sabah Media pernah melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Yakub Khan turut meminta Pengarah JANS meletak jawatan jika tidak serius untuk mengatasi masalah bekalan air.

Katanya, isu bekalan air yang sentiasa mengalami masalah sejak sekian lama memberi kesan buruk kepada penduduk setempat khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar.

“Masalah bekalan air di kawasan Sepanggar sudah semakin meruncing, sudah beberapa kali perbincangan dan arahan dikeluarkan untuk mengatasi masalah ini.

“Namun sehingga kini masalah ini tetap berlaku dan berterusan, rakyat terus marahkan saya kononnya gagal untuk menyelesaikan namun ini memerlukan tindakan serius dan segera  JANS untuk menyelesaikan permasalahan penyaluran bekalan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

1 COMMENT

  1. Kes ini berlaku di uca2. Semua yang kamu cakap itu benar. Saya mahu tambah sikit, soal bekalan air haruslah di bekalkan terus kepada penduduk dan tidak melalui lagi dari pemaju. Kami penduduk uca2 yang terjejas teruk sebulat suara memohon air yang terus dari jabatan air sabah. Kami tidak perlu lagi membeli air dari pihak pengurusan uca2.
    Kenapa kami org asal sabah sendiri harus membeli air dari pihak ketiga? Bukan ka ini kita panggil penganiayaan, penindasan. Tolong! Kami sudah lama di tindas oleh pemaju. Bagi kamu yang ada kuasa, jangan tindas kami. Kami punya keluarga, kita adalah berkeluarga. Tidak sesuai kita saling tindas menindas sehingga keadilan itu tidak dihormati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular