HomeUtamaPenduduk Taman Residensi Milenium Mahu JANS Segera Tangani Masalah Bekalan Air

Penduduk Taman Residensi Milenium Mahu JANS Segera Tangani Masalah Bekalan Air

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Lebih 200 penduduk di Taman Residensi Milenium Inanam di sini mula ‘naik angin’ selepas hampir dua bulan tidak mendapat bekalan air bersih.

Wakil pengurusan taman berkenaan Edward Chong berkata, sehingga kini pihaknya terpaksa membeli bekalan air sendiri melalui pihak swasta dengan kos pembelian melebihi RM15,000.

“Penduduk disini rata-rata bengang dan marah dengan tindakan menteri berkaitan yang lebih mengutamakan politik berbanding menyelesaikan masalah bekalan air bersih secara tuntas.

“Kami pernah meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk membantu dalam soal ini, namun mereka hanya membisu tanpa memberi jawapan yang memuaskan penduduk,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Edward berkata, satu petisyen mengenai masalah itu telah disampaikan kepada pihak JANS.

Katanya, berikutan daripada usaha itu, JANS telah menghantar beberapa anggota teknikal untuk melawat taman berkenaan.

“JANS telah berjanji untuk menyelesaikan masalah gangguan air dengan menambah tekanan air ke kawasan taman berkenaan, tetapi sehingga kini tiada tindakan positif dilakukan.

“Bekalan air yang dibeli dari pihak swasta juga tidak mampu untuk menampung keperluan semua keluarga yang tinggal di sini,” katanya.

Seorang penduduk, Fred Lim berkata, beliau berterima kasih kepada pihak pengurusan yang prihatin dengan masalah penduduk dengan membeli bekalan air daripada pihak swasta.

Bagaimanapun, dia kecewa juruteknik yang sepatutnya dihantar oleh JANS untuk menyelesaikan masalah tidak hadir dalam perjumpaan yang diadakan di JANS baru-baru ini.

“Adakah pihak JANS kini hanya lepas tangan sahaja dengan masalah air yang dihadapi rakyat.

“Kami tidak pernah mengalami masalah air di sini, tetapi sejak dua tahun ini pelbagai masalah air yang serius telah wujud di kawasan ini dan kini tiba di perumahan ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk perumahan Eric George dan Anthony Chong turut masing-masing berasa kecewa dengan pengurusan air yang dilakukan pihak berkuasa sekarang.

Mereka menjelaskan, tanggungjawab terhadap rakyat diabaikan sedangkan sibuk berpolitik di negeri orang.

“Jangan tabur janji di negeri orang sedangkan masalah air di negeri sendiri pun tidak dapat selesaikan,” katanya.

Pihak pengurusan dalam pada itu berharap masalah air di Taman Residensi Milenium Inanam dapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular