Salleh Cadang GRS Didaftar Secara Rasmi, Elak Tembung Sesama Sendiri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

CYBERJAYA ~~ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Keruak mencadangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan secara rasmi bagi mengelakkan pertembungan sesama parti dalam kerajaan ketika pilihan raya umum akan datang seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Katanya, gabungan GRS berkesan kerana ia melibatkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan dengan struktur yang jelas.

“Soalnya sekarang, bagaimanakah kita mengelak pertembungan antara ahli GRS seperti PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional) pada depan seperti yang berlaku dalam PRN Melaka?

“Situasi politik Sabah berbeza daripada Semenanjung dan kita tidak boleh lalai dalam perkara ini,” tegasnya dalam satu catatan di Facebook.

GRS ditubuhkan pada 12 Sept selepas PRN negeri sebagai gabungan parti tempatan melibatkan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin GRS secara serius membincangkan langkah bagi memperkasa gabungan itu supaya ahlinya mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju sendiri.

Jelas Salleh, GRS boleh mempertimbangkan untuk membuka keahlian secara langsung kepada parti lain untuk menjadi ahli gabungan GRS.

“Biar orang awam tidak lagi keliru mengenai GRS. GRS kekal fokus dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah, kita perlu membangunkan ekonomi negeri, menciptakan peluang pekerjaan dan mempersiapkan generasi anak muda sebagai pemimpin masa depan Sabah,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau telah pun membawa perkara itu secara terbuka kepada kepimpinan tertinggi GRS.

“Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat, tetapi demi masa depan Sabah saya percaya ia penting untuk membincangkan perkara ini sekarang secara terbuka, membina dan bertimbang rasa.

“Pokoknya, untuk memastikan Sabah terus melangkah GRS perlu ketepikan politik polemik dan kekalkan tumpuan kita untuk terus bekerja,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *