HomeUtamaKPDNHEP Sabah Lancar Program Jualan Keluarga Malaysia Di Putatan

KPDNHEP Sabah Lancar Program Jualan Keluarga Malaysia Di Putatan

Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Mendengar keluhan rakyat dengan kenaikan harga barang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah mengambil inisiatif mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Perkarangan Majlis Daerah Putatan, dekat sini, pada Sabtu.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, Program Jualan Keluarga Malaysia yang julung kali diadakan di daerah Putatan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melancarkan Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2 Disember baru-baru ini.

” Inisiatif ini disasarkan kepada 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia termasuk 25 kawasan parlimen di Sabah akan diadakan Program Jualan Keluarga Malaysia ini, ia bertujuan untuk orang ramai khususnya penduduk setempat dapat membeli barangan keperluan yang sangat murah berbanding harga di pasaran pada hari ini.

“Barangan yang dijual dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah, yang mana kita tahu kos sara hidup yang meningkat sejak kebelakangan ini, jadi kita adakan program ini, membawa pemborong-pemborong secara langsung dari pembekal dan menjual barangan mereka dengan harga lebih murah kepada pengguna.

“Saya berharap dengan adanya program sedemikian dapat mengurangkan sedikit beban kos sara hidup harian masyarakat di sini,” kata Georgie ketika ditemubual media semasa lawatannya bersama Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Abdul Khar.

Menurut Georgie lagi, program seumpama ini juga akan diadakan di daerah-daerah lain sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi memudahkan masyarakat setempat membeli barangan keperluan dengan harga murah. Ia juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri.

“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.

“KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan,” tambahnya.

Antara agensi kerajaan yang turut serta sdalam program tersebut iaitu Lembaga Ikan Malaysia (LKIM), Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Rakan Strategik dan Pemain Industri seperti BATARAS; Nestle; Imbas Jaya; Sazarice Sdn. Bhd.; Kina Enterprise; dan QL Resources Berhad.

Georgie juga mengalu-alukan kepada agensi lain turut serta dalam program ini.

Antara barang keperluan yang dijual seperti beras, gula, kopi, milo, ikan, sayur, bawang, ayam, telur ayam dan lain-lain.

Dalam pada itu, Haryani turut berterima kasih kepada KPDNHEP Negeri Sabah kerana memilih Daerah Putatan sebagai destinasi pertama program ini diadakan.

“Saya berharap program seumpama ini akan terus diadakan untuk meringankan beban penduduk di sini yang juga terkesan dengan kenaikan harga barang,”katanya.

Suri rumah, Sapiah Yusof, menunjukkan barang keperluan yang dibelinya dengan harga kurang RM5 kesemuanya dari gerai Jualan Keluarga Malaysia di Putatan.

Sementara itu, suri rumah Sapiah Yusof, 68, ketika ditemubual oleh Sabah Media hari ini, turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan program ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dengan adanya program ini, kami sebagai pengguna yang amat terkesan dengan kenaikan harga barang, kami dapat membeli barang keperluan dengan harga yang berpatutan malah murah dari harga di pasaran. Saya berharap program ini dapat diteruskan dari masa ke semasa,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular