Sabah Sokong Pindaan RUU Perlembagaan Persekutuan Selari Dengan MA63

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Sabah menyokong penuh cadangan untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan peruntukan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan usaha berterusan yang dilakukan oleh Sabah dan Sarawak.

Katanya, beliau dan rakan sejawatnya di Sarawak telah mengemukakan tuntutan negeri-negeri pada Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

“Jadi, Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah hasil daripada keputusan Majlis Khas MA63 yang mengambil kira permintaan daripada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Majlis Khas MA63 bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di auditorium mini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang ).

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah melihat pembentukan Majlis Khas MA63 sebagai fasa penting dan manifestasi kesediaan kerajaan hari ini untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dipersetujui sebelum ini.

Taklimat khas itu bertujuan memberi gambaran kepada wakil rakyat mengenai perkembangan terkini tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Khas MA63.

Dalam taklimat itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan kuasa mengeluarkan lesen perikanan laut dalam kepada Kerajaan Negeri daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kepada Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *