DUN Sabah : Ko-Nelayan Laksana Moratorium Kepada Nelayan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Ko-Nelayan telah melaksanakan Moratorium kepada nelayan yang melibatkan penangguhan bayaran balik pinjaman di bawah Skim Kredit Pinjaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pemberian moratorium itu dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu pada tempoh Mac hingga September 2020 dan Ogos hingga Oktober lalu.

Katanya, pemberian moratorium ini telah memberi manfaat kepada 4,877 orang nelayan.

“Skim Kredit Ko-Nelayan yang merangkumi Skim Bantuan Nelayan, Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur dan Pembangunan Industri Kecil Perikanan bagi tahun ini telah diteruskan walaupun menghadapi kekangan akibat pandemik COVID-19.

“Selain itu, latihan upskilling diteruskan secara maya agar latihan dan pembelajaran golongan nelayan yang terkesan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Fairuz Renddan (BERSATU – Pintasan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dr Jeffrey berkata, bilangan kursus yang telah dijalankan pada tahun lalu adalah sebanyak 12 kursus melibatkan 434 orang peserta. 

Katanya, pada tahun ini sebanyak lima kursus telah dijalankan melibatkan 221 orang peserta.

“Kementerian saya juga melaksanakan Program Agropreneur Muda iaitu program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia yang mensasarkan golongan belia dan beliawanis berumur 18-40 tahun.

“Program ini membantu golongan usahawan muda mengembangkan perniagaan dengan bantuan geran sehingga maksimum RM20,000 seorang peserta.

“Pada tahun 2020 hingga 2021, seramai 44 orang mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *