COVID-19 : Kes Kembali Menurun, KK Kekal Penyumbang Terbanyak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah kembali menurun dibawah paras angka 300 kes dengan merekodkan sebanyak 263 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah terbaharu itu merupakan 66 kes lebih rendah berbanding semalam iaitu sebanyak 329 kes.

“Kebanyakan daerah mencatatkan jumlah kes yang lebih rendah berbanding sebelumnya. Walaupun Kota Kinabalu kekal penyumbang terbanyak kes-kes di Sabah tetapi jumlah hari ini iaitu 47 kes adalah 26 kes lebih rendah daripada semalam.

“Bagi daerah Tuaran juga turun kepada lima kes iaitu sebanyak 27 kes pada hari ini, Penampang berkurangan 6 kes (25) dan Ranau turun 9 kes (14),” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata,  daerah Beaufort menambah 10 kes  menjadikan sebanyak 18 kes hari ini dan Tenom naik 5 kes menjadikan ia sebanyak 16 kes.

Katanya, lima daerah tidak mencatat sebarang kes baharu (sifar) iaitu, Kalabakan, Tongod, Nabawan, Kunak dan Semporna.

“Manakala sebanyak 11 daerah lain mencatatkan kes baharu di bawah paras 10,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, pembukaan aktiviti-aktiviti ekonomi yang semakin luas dan rancak juga meningkatkan interaksi antara penduduk.

Katanya, majlis sosial dan rekreasi bertambah rancak dan perkumpulan tidak dapat dielakkan.

“Walau bagaimanapun adalah diharapkan agar semua rakyat kekal mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Disiplin diri penting bagi mengurangkan risiko jangkitan khususnya semasa berada di tempat yang ramai orang,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, jangkitan secara sporadik sering berlaku semasa berada dikhalayak ramai atau berkumpulan.

Katanya, statistik jelas menunjukkan peratusan jangkitan secara sporadik adalah tinggi setiap hari.

“Hari ini peratusan jangkitan yang berpunca daripada jangkitan sporadik ialah 41.4%. Angka ini tidak jauh berbeza dengan peratusan penyumbang utama jangkitan yakni kontak rapat yang mencatat 48.3 peratus,” katanya.

Katanya, seramai 252 daripada 263 orang pesakit hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, empat orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan juga dua pesakit dalam Kategori 5. Tiga kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *