KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 adalah penting dan ia akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), “Ia adalah detik penting dalam sejarah negara kita, terutama sekali apabila ia diluluskan sebulat suara oleh Parlimen.
“Kami sentiasa mempertahankan hal ini dan Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah sedia menerima permintaan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah bahawa dengan asas-asas MA63 dilaksanakan, langkah-langkah kini boleh diambil untuk bergerak lebih jauh ke hadapan dalam memulihkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Hajiji mengulangi bahawa Majlis Khas MA63 adalah penting kerana ia adalah manifestasi kerajaan hari ini untuk duduk bersama dan menyelesaikan isu berkaitan sebagai satu Keluarga Malaysia.
Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak akan berhenti setakat ini, sebaliknya akan meneruskan hak negeri seperti yang dipersetujui melalui Majlis Khas MA63.
Pada Selasa, Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Parlimen melalui pengundian pada bacaan akhir kali kedua dan ketiga.