MAFI & Agrobank Wujudkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

KUALA LUMPUR : Kerajaan amat prihatin dan memandang serius terhadap masalah petani, peladang, penternak dan nelayan, khususnya dari golongan B40 yang memiliki tahap pengeluaran berskala kecil dan sering terdedah kepada risiko pengeluaran.

Menteri Pertanian dan Industi Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara risiko itu termasuklah bencana alam seperti banjir, perubahan cuaca dan iklim, serangan wabak penyakit dan haiwan perosak.

Katanya, selain itu risiko ketidakstabilan harga pasaran yang menjejaskan punca pendapatan pada petani, penternak dan nelayan.

“Pada ketika ini pihak kementerian saya dengan kerjasama Agrobank sedang mewujudkan satu skim perlindungan khusus berlandaskan prinsip shariah yang dinamakan sebagai Skim Perlindungan Takaful Agromakanan.

“Ia adalah bagi memenuhi keperluan komuniti agromakanan yang mengalami ketidaktentuan punca pendapatan akibat bencana alam.

“Skim perlindungan takaful ini akan menawarkan pakej perlindungan dengan caruman premium tahunan pada kadar yang rendah dan berpatutan serta penyediaan pampasan yang sewajarnya kepada semua petani, peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara termasuk daripada golongan B40 yang berskala kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dato’ Jefridin Atan di Dewan Negara disini hari ini.

Ronald berkata, pada peringkat permulaan, Skim Perlindungan Takaful Agromakanan ini akan dilaksanakan menerusi inisiatif swasta yang akan dipelopori oleh Agrobank sebagai perintis dalam menawarkan skim perlindungan yang pertama dalam sektor pertanian di negara.

“Untuk makluman, Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan pembangunan model perniagaan baharu Agrobank yang meliputi penawaran Skim Perlindungan AgroTakaful.

“Bagi memastikan kelancaran penawaran skim ini, Agrobank kini sedang menunggu keputusan lanjut daripada Bank Negara Malaysia dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority),” katanya.

Katanya, skim ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2022 dan dimulakan dengan Fasa Pertama melibatkan skim perlindungan untuk para pesawah padi seluruh negara.

“Seterusnya, skim ini akan diperluaskan pada tahun 2023 dengan melibatkan subsektor perikanan, tanaman, perladangan dan industri makanan yang lain,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *