LABUAN: Seorang pengusaha kedai runcit dikompaun kerana gagal mematuhi syarat pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Gawai 2026 yang kini sedang berkuat kuasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata hasil pemeriksaan mendapati peniaga terbabit gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal seperti yang diwajibkan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.
Menurutnya, tanda harga khas itu bertujuan memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang tertakluk di bawah kawalan harga, selain meningkatkan ketelusan maklumat harga di pasaran.
“Susulan kesalahan yang dikesan, kompaun telah dikeluarkan serta-merta di lokasi pemeriksaan terhadap peniaga berkenaan. Tindakan ini mencerminkan komitmen KPDN dalam memastikan pematuhan perundangan serta melindungi hak pengguna sepanjang musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kegagalan mematuhi keperluan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) yang dikuatkuasakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
“Orang ramai disaran menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya mengesan sebarang pelanggaran peraturan berkaitan SHMMP.
“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan domestik serta melindungi kepentingan pengguna dan peniaga yang mematuhi peraturan,” katanya.




