PUTRAJAYA: Latar belakang keluarga dan kedudukan sekolah di kawasan pedalaman bukan penghalang kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Singgah Manis, Kinabatangan Sabah untuk mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menerima kunjungan 11 murid asnaf bersama tujuh guru sekolah berkenaan di Kompleks Seri Perdana, petang tadi.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata, beliau kagum dengan pencapaian warga sekolah itu yang berjaya mengharumkan nama Sabah menerusi pelbagai kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan berkenaan membuktikan murid dari kawasan pedalaman juga mempunyai potensi besar untuk berkembang dan mencapai cita-cita sekiranya diberikan peluang serta bimbingan sewajarnya.

Beliau berkata, setiap murid perlu terus tekun menimba ilmu dan berani mengejar impian, selain mengingatkan mereka supaya tidak melupakan jasa ibu bapa serta berusaha menyumbang kembali kepada masyarakat apabila berjaya kelak.
“Penghargaan khusus saya buat guru-guru SK Singgah Manis yang tidak kenal erti lelah dalam mendidik, membimbing dan memupuk keyakinan anak-anak ini untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Hadir sama pada kunjungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Berdasarkan rekod pencapaian sekolah, SK Singgah Manis menerima pelbagai pengiktirafan sejak 2006, termasuk Anugerah Sekolah Harapan Negara pada 2006 dan 2007 serta Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Luar Bandar pada 2009.
Sekolah itu turut memperoleh 13 pengiktirafan pada 2025, antaranya Anugerah Pengurusan Kewangan Cemerlang, Anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang dan Anugerah Kepimpinan Inspirasi.
Dalam bidang pembangunan murid pula, sekolah berkenaan merekodkan tiga pencapaian di peringkat antarabangsa, 12 kebangsaan, 32 negeri dan 34 daerah menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan serta program.
Anwar berkata, pencapaian itu mengukuhkan tekad kerajaan untuk memastikan setiap anak, tanpa mengira sejauh mana mereka tinggal, mendapat peluang sama rata untuk belajar, mengembangkan bakat dan mencapai cita-cita.



