Oleh Normimie Diun
GUANGZHOU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) hubungan persahabatan dengan dewan perniagaan dari China bagi memperkukuh jaringan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
Majlis menandatangani MoU Hubungan Persahabatan (Friendly Chambers) itu berlangsung sempena Majlis Makan Malam Jaringan Perniagaan Malaysia-China di Ballroom Dongfang Hotel, di sini, malam ini, yang dirasmikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Lima dewan perniagaan yang terlibat ialah Xingtai Business Federation, Guangzhou Overseas Chinese Chamber of Commerce, Guangzhou Outbound Enterprises Chamber of Commerce, Northeast Asia Trade Chamber of Jilin Province dan Jilin Ginseng Chamber of Commerce.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pemeteraian MoU berkenaan merupakan langkah penting membina hubungan jangka panjang, memperkukuh pertukaran perniagaan serta membuka peluang kerjasama antara komuniti perniagaan Sabah dan China.
“Kerjasama ekonomi yang bermakna tidak seharusnya terhenti pada satu lawatan atau sesi padanan perniagaan, sebaliknya perlu dibina berasaskan kepercayaan dan persefahaman jangka panjang.
“Kami berharap rakan perniagaan dari China dapat melihat potensi Sabah serta meneroka peluang pelaburan dan perniagaan dalam pelbagai sektor,” katanya semasa berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, misi perdagangan ke Guangzhou itu bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China, selain memberi pendedahan kepada delegasi Sabah mengenai perkembangan teknologi dalam sektor pertanian, perikanan dan pemprosesan makanan.
Sepanjang misi berkenaan, delegasi turut mengadakan lawatan ke Nansha Fisheries and Agriculture Industrial Park, Blue Ocean Fishing Port dan Mingzhu Modern Urban Agricultural Experimental Park bagi meninjau perkembangan akuakultur, pemprosesan makanan serta pertanian bandar moden.
Delegasi turut mengunjungi Universiti Sun Yat-sen dan menyertai seminar berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta pertanian pintar.
Kerjasama yang diteroka merangkumi bidang teknologi pertanian, akuakultur, pemprosesan makanan, pelancongan dan logistik, dengan harapan kepakaran teknologi serta pengalaman industri China dapat digabungkan dengan sumber dan potensi pasaran Sabah.
Majlis makan malam itu turut menghimpunkan delegasi Sabah bersama pemimpin dan wakil komuniti perniagaan China, selain diserikan dengan persembahan kebudayaan dan interaksi rentas budaya bagi mengeratkan hubungan kedua-dua pihak.



