BEAUFORT : Bangunan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) disini akan dijadikan sebagai perkampungan budaya Bisaya.
Perkara itu dinyatakan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam.
Katanya, cadangan itu bersesuaian dengan hala tuju yang ditetapkan bagi membangunkan bangunan PBBS sebagai sebuah perkampungan budaya.
“Bangunan PBBS yang mempunyai keluasan seluas enam ekar ini kita akan jadikan sebagai kawasan tumpuan masyarakat Bisaya dan pengunjung luar.
“Ia akan dilaksanakan seperti mana bangunan-bangunan etnik yang wujud di Sabah termasuk Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Hongkod Koisaan di Penampang bagi masyarakat Kadazandusun serta Pusat Kebudyaaan Murut di Tenom bagi etnik Murut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan PBBS Kali ke-29 bagi sesi 2021-2024 disini kelmarin.
Ruslan yang menang tanpa bertanding jawatan presiden merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemilihan kepimpinan persatuan.
“Saya juga ingin memuji sikap semua ahli PBBS yang mementingkan perpaduan dan terima kasih juga kepada Datuk Isnin Aliasnih atas keputusannya menarik diri dari bertanding untuk jawatan presiden demi kepentingan persatuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslan menghargai sokongan yang ditunjukkan oleh Isnin yang menyumbangkan wang sebanyak RM5,000 bagi digunakan sempena pemilihan kepimpinan baharu selain meluluskan peruntukan pembuatan gelanggang gasing berjumlah RM20,000.
“Kita akan sentiasa bekerjasama memperjuangkan PBBS dan ini sudah lama dipraktikkan.
“Saya berharap agar kepimpinan baharu bersedia menjalankan tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan oleh perwakilan,” katanya.