KUALA LUMPUR : Dengan seiklas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup ujar Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin.
Beliau berkata, kemaafan itu berdasarkan niat mangsa banjir memecah masuk kedainya untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan lambat tiba dan bukan sebaliknya.
“Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut.
“Namun, dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Ameer yang turut mendoakan mangsa banjir dalam keadaan selamat dan keadaan akan pulih secepat mungkin berkata, cawangan Mydin di Sri Muda mengalami kerugian jutaan ringgit akibat banjir yang melanda Jumaat lalu.
Sebelum ini, polis mengesahkan beberapa kedai serbaneka di Sri Muda, khususnya Seksyen 15 yang dilanda banjir kilat Jumaat lalu, dipecah masuk sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang semalam.
Antara premis terbabit ialah Mydin, KK Mart, 7 Eleven dan Pasaraya Jimat.