Kerajaan Komited Bantu Pengusaha Pelancongan Terus Bergiat Aktif & Progresif

Read Time:1 Minute, 51 Second

LAHAD DATU : Kerajaan sentiasa komited untuk membantu pengusaha-pengusaha dan pemain industri pelancongan di negara ini untuk terus bergiat aktif dan progresif untuk terus melangkah ke hadapan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri berkata, komitmen itu akan diterjemahkan menerusi  Rancangan Malaysia Kedua-Belas (RMKe-12) di dalam Fokus Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi.

Katanya, ia selaras dengan visi dan misi kementeriannya di bawah agenda Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan secara mampan dan inklusif, serta pemulihan industri pelancongan secara efektif berteraskan norma baharu dan ketersediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang.

“Kita semua sudah pastinya cakna dan sedar dengan ujian yang telah menimpa iaitu penularan wabak COVID-19. Sektor pelancongan merupakan sektor yang terjejas dengan begitu dahsyat sekali.

“Kita berharap kerjasama erat antara kerajaan pusat bersama kerajaan negeri untuk mencari formulasi dan merangka strategi atau dasar yang mampan untuk memperkasakan semula industri pelancongan dapat direalisasikan bersama.

“Dalam aspek ini, saya turut mengalu-alukan kerjasama dari pihak individu dan persendirian dalam usaha kita memastikan industri pelancongan negara terus maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Segama ATV Park disini hari ini.

Nancy berkata, pengenalan kepada produk-produk pelancongan baharu seperti pembukaan Segama ATV Park akan dapat merancakkan semula industri pelancongan dan berupaya membuka potensi kepada pelancong-pelancong untuk menikmati atau merasai produk-produk baharu yang diperkenalkan.

“Melihat kepada keunikan dan keindahan Sabah ini, saya yakin pengusaha-pengusaha aktiviti pelancongan di negeri ini mampu menawarkan seleksi pakej pelancongan yang menarik kepada pengunjung luar mahupun dalam negara kita sendiri.

“Apabila menyebut sahaja untuk melancong di Sabah, kita semua akan terfikir untuk terus ke destinasi pulau-pulau yang cantik di Sabah kerana ianya menjanjikan ketenangan,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, perkara itu adalah amat baik kerana ia merupakan satu tarikan pelancongan yang telah menjadi simbolik dan identiti untuk Sabah yang terkenal dengan keindahan pulau.

“Namun, untuk bergerak melangkah ke hadapan, saya ingin melihat segmen pelancongan di Sabah ini dapat divariasikan lagi secara pelbagai.

“Oleh yang demikian, dengan pembukaan Segama ATV Park di Lahad Datu ini saya harap ia menjadi pakej baharu kepada pertumbuhan ekopelancongan masyarakat setempat yang mengusahakannya, terutamanya yang melibatkan sukan lasak dan ekstrem,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *