HomeIsu tempatanUsahawan Dipelawa Sertai Program Pemacu Kesan Sosial Sabah

Usahawan Dipelawa Sertai Program Pemacu Kesan Sosial Sabah

Read Time:2 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya usahawan di negeri ini dipelawa menyertai program Pemacu Kesan Sosial Iltizam Sabah (ISIAS) yang ketika ini sedang membuka permohonan kepada mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Program selama enam bulan itu yang dianjur bagi mempromosikan inovasi sosial dan keusahawanan di Sabah disasar untuk memacu pertumbuhan perniagaan sosial dan aktiviti perniagaan di Sabah keseluruhannya.

Penganjurannya disokong oleh Iltizam di bawah Ekuinas (Ekuiti Nasional Berhad) dan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) serta diurus oleh Yayasan Amanah Belia (myHarapan) bermula pada Februari hingga Julai 2022.

Iltizam adalah cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ekuinas yang ditubuhkan dengan misi untuk memberi khidmat dan kesan positif kepada usahawan Bumiputera dan komuniti yang lebih luas menerusi tiga tunjang iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti.

Sementara itu, SCENIC pula adalah sebuah inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) yang diluluskan Kabinet Sabah pada Ogos 2019 dengan sasaran untuk memacu industri di negeri ini melalui keusahawanan, teknologi, inovasi dan kreativiti.

Dalam pada itu, myHarapan adalah sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bagi memperkasa orang muda Malaysia dengan menyokong projek belia dan inisiatif yang menyumbang ke arah usaha membina negara.

Secara bersama, ketiga-tiga badan ini mensasarkan untuk menggalakkan pertumbuhan mapan usahawan sosial Sabah dengen menyediakan mereka pengalaman dan peluang, kemahiran dan pengetahuan untuk membina daya tahan dalam membangunkan lebih banyak kesan positif.

Perniagaan sosial terpilih akan mendapat manfaat menerusi bantuan kewangan, pementoran dan laluan kepada pelabur berpotensi melalui program berstruktur secara intensif selama enam bulan.

Ia turut menyediakan peserta dengan laluan yang berharga ke dalam pasaran, bakat dan modal tambahan di samping membolehkan mereka mencapai hasil sosial yang penting.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, berkata pihaknya berharap program berkenaan akan memberi manfaat kepada usahawan sosial di Sabah, khususnya di kawasan terpencil, membolehkan mereka belajar kemahiran perniagaan baharu, menjadi lebih adaptif dan tangkas dalam era teknologi digital.

“Ini sangat relevan khususnya dalam kita memasuki fasa endemik COVID-19. Mereka perlu belajar kemahiran baharu yang relevan dan kekal berdaya saing dalam pasaran.”

Sementara itu, pengurus besar SCENIC Viviantie Sarjuni berkata ekosistem keusahawanan sosial sudah ada sejak 2014 dan Malaysia pernah berada dalam senarai teratas sebagai negara perintis untuk keusahawanan sosial pada 2016.

“Kita perlu mengembangkan sokongan yang sama di Sabah memandangkan kita ada banyak perniagaan sosial berpotensi yang banyak di antara tidak disedari,” katanya.

Namun, katanya dengan bimbingan dan sokongan yang betul usaha melahirkan sebanyak mungkin perniagaan sosial di Sabah mampu dicapai, bukan saja untuk membantu ekonomi, malah membantu menyelesaikan isu yang menekan dalam komuniti.

Viviantie juga berkata, model perniagaan keusahawanan sosial bukan saja membolehkan seseorang ‘membuat duit’ untuk diri sendiri, malah mampu meningkatkan ekonomi komuniti yang terjejas, termasuk menyelesaikan isu alam sekitar.

“Kita menggalakkan usahawan sosial sedia ada dan mereka yang berminat di Sabah untuk menyertai program ISIAS ini dan mendapatkan bantuan yang diperlukan daripada sistem sokongan yang disediakan penganjur.”

ISIAS terbuka kepada perniagaan sosial dan perniagaan yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau badan pendaftaran lain yang diiktiraf dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham Bumiputera Sabah.

Selain itu, perniagaan juga mesti beroperasi di Sabah sekurang-kurangnya enam bulan dan tidak lebih tiga tahun dengan bukti dalam bentuk hasil atau pemerolehan pelanggan.

Usahawan sosial yang terpilih akan menyertai beberapa siri bootcamp yang akan diadakan bermula Februari hingga Julai 2022.

Hanya 10 perniagaan sosial dan perniagaan teratas lain akan dipilih untuk menyertai program pementoran selama enam bulan itu.

Permohonan untuk menyertainya boleh dibuat melalui laman sesawang https://bit.ly/ISIAS2022

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular