Jemaah Umrah & Individu Keluar Negara Sebelum 28 Disember Perlu Kuarantin Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Rakyat Sabah yang menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021 adalah dibenarkan untuk meneruskan perjalanan masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mereka hendaklah menjalani kuarantin di negeri Sabah tertakluk kepada ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) yang disahkan negative sebelum bertolak ke Sabah.

“Kerajaan Negeri memutuskan bahawa rakyat Sabah (Warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia adalah dibenarkan meneruskan perjalanan masuk ke Negeri Sabah.

“Kerajaan Sabah juga akan menyediakan perkhidmatan Doktor Berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secara percuma kepada rakyat yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Hajiji berkata, selain itu kerajaan negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum tarikh itu yang disahkan positif dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.

Katanya, bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah akan turut disalurkan dan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur.

“Bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin 7 atau 10 hari di Kuala Lumpur.

“Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya adalah ditangung oleh para jemaah umrah atau agen pelancongan umrah masing-masing.

“Agen Pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan.

“Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, syarat-syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah dari masa ke semasa.

“Walau bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat Pihak Berkuasa Negeri yang sedia ada,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *