JBPN Sabah Aktifkan 14 PPS, 5 Daerah Terlibat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menasihatkan rakyat untuk sentiasa berwaspada berikutan cuaca buruk yang menyebabkan banjir di lima buah daerah di Sabah sejak semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah telah mengaktifkan 14 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan daerah terjejas banjir.

Katanya, sehingga 1 petang tadi, sebanyak 399 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan bilangan 1,161 mangsa di tempatkan di 14 PPS berkenaan.

“Antara daerah terlibat ialah di Telupid (3 PPS), Kota Marudu (7 PPS), Paitan (2 PPS), Beluran (1 PPS) dan Sandakan (1 PPS) bagi menempatkan mereka yang terjejas dengan bencana banjir.

“Pasukan-pasukan penyelamat telah dikerahkan bukan sahaja ke kawasan yang terjejas tetapi juga untuk bersiap siaga di semua lokasi yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Hajiji berkata, agensi-agensi kerajaan yang terlibat juga dalam proses untuk mengagihkan bantuan bakul makanan kepada mangsa-mangsa yang terjejas secepat mungkin.

Katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa pada masa ini, keselamatan rakyat adalah menjadi keutamaan.

“Oleh itu, saya menggesa semua yang terlibat untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Kerajaan Negeri juga akan memastikan semua agensi di seluruh negeri bersedia untuk bertindak apabila perlu,” katanya.

Pada Rabu lalu, Hajiji telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di negeri ini untuk diaktifkan bagi bersiap sedia dengan kemungkinan cuaca buruk di Pantai Timur dan Bahagian Utara di Sabah seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Katanya, beliau akan menghadiri Mesyuarat Pengurusan Bencana Tugas-Tugas Khas Pasca Banjir Monsun Timur Laut secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *