Tindakan Peter Keluar WARISAN Disokong, Perlu Tumpu Pembangunan Melalap

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

TENOM :  Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony meninggalkan Parti Warisan (WARISAN) dan menubuhkan parti baharu menerima reaksi positif rakan sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Melalap Stanis Buandi berkata, tindakan Peter menubuhkan parti baharu yang berasaskan KDMR itu juga perlu ikhlas dalam perjuangan baharu sebagai ADUN yang mesra GRS.

“Selain mahu mesra kepada GRS, beliau juga harus fokus membangunkan Melalap seperti yang diharapkan pengundi serta masyarakat disini kerana ini merupakan janji beliau pada masa pilihanraya lalu.

“Antara janji-janji beliau semasa Piliha Raya Negeri (PRN) 2018 termasuklah membina kilang tayar, membina jalan by-pass ke Pekan untuk mengelak kesesakan jalanraya ke Pekan Tenom, mengiktiraf Melalap sebagai daerah penuh dan mewujudkan pekan baru Melalap,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Stanis berkata, pelbagai projek pembangunan telah dijanjikan Peter pada PRN 2018 lalu namun masih banyak kemudahan awam dan infrastuktur terbiar dan tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, walaupun gagal menepati janji PRN 2018, rakyat Melalap masih menyimpan kepercayaan terhadap Peter dan sekali lagi beliau menang pada PRN ke -16 lalu. 

“Kini, Peter perlu menumpukan perhatian terhadap melangsaikan “hutang-hutang” beliau kepada pengundi beliau di kawasan ini.

“Saya merasakan beliau perlu terlebih dahulu memberi  tumpuan kepada konteks kemajuan dan pembangunan di Melalap, dan bukannya sibuk menubuhkan parti baharu untuk mencari kelangsungan karier politik beliau,” katanya.

Katanya, Peter perlu membiarkan parti sedia ada seperti PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk meneruskan perjuangan dalam KDMR kerana khuatir akan menambah perpecahan dikalangan pelbagai kaum dan seterusnya memburukkan lagi situasi politik di negara ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *