HomeUtamaMaritim Malaysia Tahan Lima PATI Cuba Masuk Perairan Negara

Maritim Malaysia Tahan Lima PATI Cuba Masuk Perairan Negara

Read Time:1 Minute, 37 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot jongkong bersama lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba memasuki negara melalui jalan laut di perairan Sungai Apas Tawau sekitar jam 11.10 malam kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, kesemua PATI lelaki yang ditahan berasal dari Indonesia dan berusia antara 32 hingga 52 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya cubaan melintasi sempadan sewaktu lewat malam.

“Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot jongkong tanpa nombor pendaftaran tersebut yang bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju masuk ke perairan Tawau dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati tekong dan kru tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Siva Kumar berkata, tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pendaftaran bot yang sah dan kesemua PATI beserta bot jongkong seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Katanya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Kesemua barangan termasuk bot jongkong, enjin bot, barangan persendirian disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20 ribu.

“Ujian saringan pengesanan COVID-19 turut dilakukan ke atas kesemua tahanan bagi mengambil langkah selamat agar tidak berlakunya penularan wabak COVID-19 yang dikhuatiri dari negara jiran,”katanya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah(ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Maritim Malaysia juga ingin menyeru masyarakat untuk turut menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular