Sabah Mahu Aset Keselamatan Di ESSZONE Dinaiktaraf

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu aset keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dinaiktaraf bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan timur Sabah sentiasa pada tahap tertinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan juga mahu supaya lebih banyak pos kawalan keselamatan sempadan akan dibina, terutama di sempadan Sabah-Kalimantan sebagai menjangkakan perpindahan Jakarta ke Kalimantan.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membina tiga lagi pos keselamatan sebagai tambahan kepada tujuh lagi yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melibatkan Ops Murni Angkatan Tentera untuk Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Markas Divisyen Kelima Infantri, di Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham; Panglima 5 Divisyen dan Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberi jaminan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kesiapsiagaan ATM untuk meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah serta setiap agensi berkepentingan menerusi Ops Murni Negeri Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

Katanya, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diaturgerak sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid

“Ia bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS.

“Dalam masa yang sama, penting untuk saya maklumkan bahawa pada ketika ini 385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa di negeri Sabah,”katanya.

Katanya, keutamaan pada ketika ini adalah untuk membantu masyarakat Sabah yang terjejas banjir untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir terutama di kediaman dan infrastruktur awam.

“Selain itu, kita juga akan turut membantu agensi-agensi berkaitan di Sabah melakukan kerja-kerja baik pulih kemudahan termasuk jambatan sekiranya ada yang terjejas serta bersedia sekiranya berlaku gelombang ketiga banjir di Sabah.

“Tekad ATM untuk bersama-sama rakyat Sabah mendepani sebarang musibah tetap teguh sejak dahulu lagi. Bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi juga bencana alam.

“Atas sebab itu, saya ingin beritahu kepada Ketua Menteri serta seluruh rakyat Sabah, jangan bimbang. ATM akan terus membantu sehingga situasi banjir di negeri ini benar-benar pulih sepenuhnya,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *