HomeUtamaPremis tanpa lesen diserbu, 49 tan daging sejuk beku dirampas di Kulai

Premis tanpa lesen diserbu, 49 tan daging sejuk beku dirampas di Kulai

Read Time:1 Minute, 6 Second

KULAI: Sebuah premis yang dipercayai beroperasi selama dua tahun tanpa lesen untuk menyimpan dan memproses makanan sejuk beku diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA), dengan rampasan 49,048 kilogram (kg) daging babi dan ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.5 juta.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Awang Arfian Awang Bujang, berkata anggota Batalion 5 PGA menyerbu premis di Jalan Perak, Kawasan Perindustrian Sri Kulai, kira-kira jam 7 pagi semalam menerusi Op Salju Mega susulan maklumat orang awam.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis itu tidak memenuhi piawaian ditetapkan, selain berlaku percampuran daging babi dan ayam. Pasukan operasi merampas 42,520 kg daging babi dan 6,528 kg daging ayam sejuk beku.

Daripada 11 individu yang diperiksa, sembilan ditahan, termasuk pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun. Lapan lagi yang ditahan ialah pekerja berusia antara 30 hingga 38 tahun, termasuk seorang wanita warga Myanmar.

Awang Arfian berkata premis itu dipercayai memperoleh bekalan bahan mentah dari China, Thailand dan Brazil serta daripada pembekal tempatan. Bekalan itu dipercayai diproses di premis berkenaan sebelum dijual kepada peniaga bukan Islam di sekitar daerah Kulai.

PGA turut merampas dua lori, sebuah kereta, sebuah jentera pengangkat serta pelbagai peralatan memproses dan memotong makanan sejuk beku.

Kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta Akta Imigresen 1959/63.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN sedia gubal peraturan dedah sumber halal ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular