HomeUtamaSabah terbuka kepada pelaburan berwibawa, kerjasama konstruktif – Hajiji

Sabah terbuka kepada pelaburan berwibawa, kerjasama konstruktif – Hajiji

Read Time:3 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan berwibawa dan kerjasama konstruktif yang mampu menyokong keutamaan pembangunan negeri, namun setiap cadangan perlu melalui penilaian serta penelitian sewajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keterbukaan kerajaan terhadap pelaburan perlu disertai proses membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi memastikan setiap projek memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat.

“MoU merupakan pernyataan hasrat dan bukan dengan sendirinya bermaksud kelulusan kerajaan telah diberikan. Tiada sebarang cadangan, walau sebesar mana pun potensinya, boleh dikecualikan daripada penelitian yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan penubuhan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) pertama di Sabah, di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, cadangan pembangunan pusat data berkenaan masih tertakluk kepada penilaian ketat agensi kerajaan berkaitan, termasuk membuktikan daya maju teknikal dan kewangan serta memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Menurutnya, penilaian itu perlu merangkumi permintaan dan bekalan elektrik, ketersediaan air, teknologi penyejukan, perlindungan alam sekitar, penggunaan tanah serta kemudahan kesalinghubungan.

Katanya, pihak pemaju perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan penyedia perkhidmatan utiliti bagi memastikan pembangunan berkenaan tidak menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan asas yang diperlukan rakyat.

Beliau berkata, manfaat projek itu kepada ekonomi tempatan juga perlu diberi perhatian, khususnya melalui peluang kepada syarikat Sabah dalam bidang kejuruteraan, kerja awam, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan sepanjang peringkat pembinaan.

“Apabila mula beroperasi, pusat data moden lazimnya menggunakan tenaga kerja yang agak kecil tetapi berkemahiran tinggi. Oleh itu, perolehan tempatan, latihan kepakaran, pemindahan teknologi serta peluang kepada syarikat yang berpangkalan di Sabah menjadi lebih penting,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemaju supaya memasukkan penyertaan syarikat dan tenaga kerja tempatan dalam perancangan projek sejak peringkat awal.

Antara yang boleh dilaksanakan termasuk menyediakan peluang kepada kontraktor Sabah, menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi teknikal, menawarkan program perantisan kepada golongan muda serta membantu syarikat tempatan membangunkan keupayaan baharu.

Hajiji berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan yang semakin pesat membuka peluang kepada Sabah untuk turut memainkan peranan dalam ekonomi digital.

Katanya, golongan muda, perniagaan tempatan dan institusi pendidikan perlu diberi peluang untuk terlibat dalam sektor berkenaan dan bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan yang berlaku di tempat lain.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa aspirasi membangunkan ekonomi digital perlu mengambil kira keperluan asas rakyat, termasuk bekalan elektrik yang stabil, air bersih dan kemudahan kesalinghubungan yang lebih baik.

“Ekonomi digital moden seharusnya memperkukuh infrastruktur Sabah, bukannya memberikan tekanan tambahan yang tidak perlu terhadapnya,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan pusat data bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil, kesalinghubungan yang boleh dipercayai serta sistem penyejukan dan bekalan air yang diurus dengan baik.

Justeru, semua keperluan itu perlu dipertimbangkan secara seimbang dengan kepentingan isi rumah, perkhidmatan awam dan industri sedia ada.

Hajiji turut berkata, Sabah boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negeri lain, termasuk Johor, yang menyaksikan peningkatan minat terhadap pembangunan pusat data turut menimbulkan persoalan berkaitan utiliti, pengurusan alam sekitar dan masyarakat setempat.

Katanya, Sabah mempunyai peluang untuk menjangka cabaran berkenaan lebih awal dan merancang pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan serta keperluan negeri.

Mengulas pemeteraian MoU itu, beliau mengucapkan tahniah kepada North AIDC Sdn Bhd atas usaha menjalin kerjasama dengan beberapa rakan kongsi global.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan sebenar sesuatu cadangan pelaburan bukan sekadar diukur melalui pemeteraian perjanjian, sebaliknya berdasarkan perancangan teliti, penilaian sewajarnya dan hasil yang mampu memberikan manfaat bermakna kepada Sabah.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengarah Urusan North AIDC, Datuk Chua Soon Ping, bersama pasukan syarikat itu dan semua rakan kongsi yang terlibat dalam melaksanakan penilaian serta langkah seterusnya.

Beliau berharap pemeteraian MoU berkenaan dapat membuka ruang kepada kerjasama praktikal yang membawa manfaat berkekalan kepada Sabah dan rakyatnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Premis tanpa lesen diserbu, 49 tan daging sejuk beku dirampas di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular