Oleh Normimie Diun
GUANGZHOU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mencadangkan supaya beberapa pegawai serta pensyarah Institut Pertanian Sabah, Timbang Menggaris dihantar mengikuti latihan di Universiti Sun Yat-sen, Guangzhou, China bagi memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan sektor pertanian negeri.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada tenaga kerja kementerian mengenai penggunaan teknologi AI dalam penyelidikan, pembangunan dan pengurusan sektor pertanian.
Beliau berkata, lawatan ke Universiti Sun Yat-sen itu memberi peluang kepada delegasi Sabah memahami perkembangan teknologi pertanian yang dibangunkan institusi berkenaan, khususnya penggunaan AI dalam penyelidikan dan inovasi sektor itu.
Katanya, walaupun kementerian sudah mempunyai inisiatif berkaitan AI, pelaksanaannya masih belum menyeluruh seperti yang diterapkan di universiti berkenaan.
“Justeru, saya berbincang dengan Datuk Setiausaha Tetap (SUT) supaya kita mencadangkan beberapa pegawai yang terlibat dalam bidang AI serta pensyarah Institut Pertanian Sabah, Timbang Menggaris dihantar mengikuti kursus di sini.
“Kita mahu mereka memahami dengan lebih mendalam bagaimana teknologi AI digunakan dalam pembangunan sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan ke universiti berkenaan hari ini.
Jamawi berkata, pendedahan secara langsung melalui latihan dan kursus yang diiktiraf penting bagi melengkapkan pengetahuan sedia ada, selain tidak hanya bergantung kepada pembelajaran secara kendiri menerusi bahan bacaan atau platform digital seperti YouTube.
Beliau turut mencadangkan supaya kerjasama itu diperluaskan dengan melibatkan pensyarah Kolej Universiti Teknikal Sabah bagi meneroka pembangunan sistem AI yang lebih komprehensif untuk sektor pertanian dan industri makanan negeri.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, lawatan ke universiti berkenaan membuka ruang kepada kerjasama lebih luas, bukan sahaja dalam bidang AI dan pertanian, malah pendidikan serta pembangunan modal insan Sabah.
Katanya, pendedahan kepada kepakaran dan pengalaman institusi di China boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan pelaksanaan teknologi dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan berpotensi memberi manfaat kepada Sabah, khususnya dalam memperluaskan peluang pendidikan dan pendedahan teknologi kepada anak-anak negeri.
“AI hanyalah titik permulaan untuk kita membina hubungan, berkongsi pengetahuan dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang boleh membantu Sabah serta rakyatnya.
“MCCC Sabah komited membawa nilai tambah melalui hubungan kerjasama Malaysia-China bagi menyokong pembangunan pendidikan, pertanian dan ekonomi negeri,” ujarnya.



