Oleh Normimie Diun
GUANGZHOU: Lawatan industri ke Guangzhou membuka peluang kepada delegasi Sabah meneroka model perniagaan dan strategi pemasaran baharu bagi meningkatkan nilai komersial serta menarik pelaburan dalam sektor pertanian.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, lawatan itu memberi perspektif baharu kepada komuniti perniagaan mengenai potensi sektor pertanian yang boleh dibangunkan melalui pelbagai pendekatan.
Beliau berkata, pendekatan pembangunan pertanian di China yang membahagikan industri kepada beberapa segmen seperti pengeluaran makanan, ekonomi biru dan landskap membuktikan sektor itu mempunyai peluang perniagaan lebih luas daripada sekadar aktiviti penanaman dan penternakan.
Menurutnya, usahawan perlu melihat potensi meningkatkan nilai produk serta menggabungkan beberapa bidang perniagaan bagi mengimbangi margin keuntungan dan mengurangkan tekanan kos dalam sektor pertanian.
“Saya sendiri sudah lama terlibat dalam perdagangan, perniagaan dan pembuatan, tetapi lawatan ini membuka perspektif baharu terhadap industri pertanian.
“Setiap segmen mempunyai strategi pasaran tersendiri. Kita juga boleh meningkatkan nilai sesuatu produk dengan menggabungkan produk tambahan yang mempunyai margin lebih baik bagi meningkatkan keuntungan keseluruhan perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Nansha Urban Agricultural Park (Mingzhu Modern Urban Agricultural Experimental Park), Guangzhou, China pada Khamis.
Dexter turut mencadangkan supaya Jabatan Pertanian Sabah mempertimbangkan penubuhan bahagian atau unit khusus untuk menilai aspek keuntungan dan daya maju pelaburan bagi membantu bakal pelabur mengenal pasti peluang serta model perniagaan yang sesuai.
Katanya, penilaian itu penting bagi memberi gambaran lebih jelas kepada pelabur mengenai potensi pulangan, termasuk peluang menggabungkan beberapa produk dalam satu rantaian perniagaan.
“Penyertaan pegawai kementerian, agensi kerajaan dan komuniti perniagaan dalam lawatan itu turut membolehkan idea serta cadangan pelaburan dibincangkan secara langsung, sekali gus memudahkan usaha mengenal pasti peluang untuk diterokai di Sabah.
“Apabila ahli perniagaan melihat sesuatu peluang di Guangzhou, mereka boleh terus mengaitkannya dengan potensi di Sabah dan mendapatkan maklum balas daripada pihak kementerian serta agensi berkaitan.
“Di sinilah pentingnya kerjasama kerajaan dan sektor perniagaan. Kita gabungkan idea untuk mewujudkan peluang, membangunkan industri, menjana ekonomi, mencipta pekerjaan dan meningkatkan pengetahuan untuk Sabah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, lawatan ke pusat penyelidikan pertanian dan bioteknologi berkenaan memberi inspirasi kepada kementerian untuk memperluas konsep kebun dapur di kawasan bandar, khususnya bagi penduduk yang tidak mempunyai tanah sendiri.
Katanya, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) sudah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengenal pasti tanah lapang atau tanah terbiar milik DBKK untuk dijadikan kebun komuniti.
“Kawasan sekitar bangunan MAFFI juga sedang dirancang bagi tujuan sama dengan penglibatan agensi di bawah kementerian,” katanya.
Jamawi berkata, lawatan itu turut memperlihatkan potensi penggunaan teknologi bioteknologi dan penyelidikan untuk meningkatkan nilai komersial hasil pertanian, termasuk pembangunan tanaman dan ternakan bernilai tinggi yang mampu dipasarkan pada harga premium.
“Pendedahan berkenaan turut membuka peluang kepada delegasi perniagaan meneroka bidang pertanian, pelancongan berasaskan pertanian dan perikanan, khususnya dalam kalangan usahawan muda yang mempunyai modal serta keupayaan untuk melabur.
“Kerjasama antara kerajaan dan komuniti perniagaan penting bagi memastikan peluang yang dikenal pasti sepanjang lawatan itu dapat diterjemahkan kepada projek pelaburan, pembangunan industri dan peluang ekonomi baharu untuk Sabah,” katanya.



