HomeUtamaPengenaan duti import mesin jejaskan aliran tunai syarikat – Johari

Pengenaan duti import mesin jejaskan aliran tunai syarikat – Johari

Read Time:1 Minute, 10 Second

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi perhatian terhadap aduan pengusaha industri yang mendakwa masih dikenakan duti import bagi mesin dan peralatan walaupun sudah mendapat kelulusan pengecualian daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu boleh menjejaskan aliran tunai syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pelaburan bagi meningkatkan kecekapan serta kapasiti pengeluaran.

Menurutnya, kemudahan pengecualian duti import diberikan bagi menggalakkan syarikat membawa masuk mesin dan teknologi baharu tanpa dibebani kos tambahan yang sepatutnya tidak dikenakan.

“Ada beberapa kes seperti ini dan saya akan membawa perkara ini kepada pihak Kastam serta Kementerian Kewangan. Perkara ini tidak boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan beberapa pengusaha industri dalam sesi dialog bersama komuniti perniagaan di Melaka, malam tadi.

Johari berkata, syarikat terbabit mendakwa masih perlu membayar duti ketika membawa masuk mesin dari luar negara walaupun sudah memperoleh surat kelulusan pengecualian daripada MIDA.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan kemudahan yang diluluskan kerajaan, selain boleh menjejaskan keyakinan syarikat terhadap insentif pelaburan yang disediakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya memerlukan fakta dan dokumen lengkap daripada pengusaha industri sebelum siasatan lanjut dapat dilakukan.

“Saya belum berpeluang melihat dokumen berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam dialog tadi. Namun, berikan saya fakta dan maklumat lengkap, saya akan menyiasat perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, isu itu akan dibawa kepada JKDM dan Kementerian Kewangan bagi memastikan perkara berkenaan dapat diteliti serta diselesaikan.

RELATED ARTICLES
Utama

Peruntukan besar bukti komitmen kerajaan perkasa pendidikan, modal insan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular