Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Pelajar sekolah rendah dan menengah tidak seharusnya dijadikan alat untuk memberi tekanan kepada mana-mana pihak menerusi penyertaan dalam demonstrasi atau sebarang bentuk bantahan.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, tindakan membabitkan golongan pelajar dalam aktiviti sedemikian perlu dibantah sekiranya berpotensi menjejaskan kebajikan, keselamatan dan pendidikan mereka.
Beliau berkata, pihaknya memahami keresahan serta kesulitan yang dihadapi pihak-pihak terlibat, namun kepentingan dan masa depan anak-anak tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan tertentu.
Katanya, kesejahteraan emosi serta keselamatan pelajar perlu diberikan perhatian kerana mereka sepatutnya diberi ruang untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan perkembangan diri.
“Saya memandang serius dan membantah sebarang tindakan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah dalam apa jua bentuk bantahan atau demonstrasi yang berpotensi menjejaskan kebajikan, keselamatan, kesejahteraan emosi serta pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Pamer Keunggulan peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Menurutnya, perkara itu juga perlu diberikan perhatian serius ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sedang berlangsung.
Katanya, tumpuan dan pendidikan pelajar tidak seharusnya terganggu akibat sebarang pertikaian dalam kalangan orang dewasa.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti, masyarakat dan semua pihak supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan sentiasa mengutamakan kepentingan, keselamatan serta masa depan anak-anak. – SABAH MEDIA



